Fokus perbaiki kelemahan, tambahbaik mutu perkhidmatan sektor pelancongan – Tiong
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing semalam menjawab kepada jemputan lawatan ke Langkawi daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi.
Tiong menjelaskan bahawa persoalan yang dibangkitkan sebelum ini merupakan aduan daripada pelancong-pelancong di mana perlu mendapat perhatian Dewan Rakyat agar semua pihak dapat bekerjasama untuk memperbetulkan kepincangan industri pelancongan Malaysia selain meminimumkan kesan negatif terhadap industri pelancongan negara.
“Pada masa yang sama, saya turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi serta Exco Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Wong Chia Zhen atas jemputan tersebut. Namun, saya percaya sekiranya Menteri boleh mendapati isu-isu sedemikian berlaku semasa turun padang, maka ia menunjukkan bahawa masalah tersebut sudah menjadi semakin besar dan serius.” kata Tiong.
Menurut Tiong, sebagai ‘ketua keluarga’ di Kedah, Sanusi sepatutnya mengutamakan kebajikan penduduk Kedah dalam segala hal. Dalam masa sama bekerjasama dan menjalin komunikasi dengan Tan Sri Abdul Hadi selaku ‘ketua keluarga PAS’ dalam mencari kaedah untuk mempromosikan pembangunan positif negeri, bukannya berulang kali mengeluarkan kenyataan angkuh yang berupaya menjejaskan industri pelancongan dan mengundang kemerosotan ekonomi negeri.
Sekiranya trend ini berterusan, Tiong berpendapat ia juga boleh mengganggu sensitiviti kaum dan agama lain. Menurut beliau, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, dan kenyataan seperti ini hanya akan memburukkan keadaan dan boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.
“Apa yang berlaku di Kelantan sebelum ini apabila seorang wanita yang juga pemilik perniagaan dikenakan kompaun kerana berseluar pendek di premisnya sendiri boleh dijadikan iktibar. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan di Facebook bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS mempunyai hak untuk menguatkuasakan kuasa mereka dan melarang orang bukan Islam daripada berpakaian tidak sopan.”
“Kenyataan daripada pemimpin seperti ini seolah-olah menunjukkan kuasa pihak tertentu boleh digunakan tanpa menghiraukan sensitiviti kaum yang lain. Keadaan ini pastinya menyebabkan pelancong asing merasakan hak dan kebebasan mereka diancam, lalu menyebabkan mereka tidak berminat untuk melawat ke Malaysia. Jika situasi sebegini tidak ditangani segera, ia dikhuatiri akan menjadi krisis yang lebih besar pada suatu hari.” kata Tiong lagi.
Tiong berpendapat lawatan ke setiap negeri bagi memahami masalah yang dihadapi oleh industri pelancongan tempatan merupakan tugas dan kewajipan beliau, termasuk juga Langkawi. Maka, apabila menyentuh mengenai permasalahan yang ada, semua pihak bertanggungjawab untuk mengambil perhatian serius dan mencari jalan penyelesaian, maka bukannya bertindak terburu-buru, menafikan usaha mana-mana pihak atau hanya pejam mata seolah-olah sebagai tiada apa yang berlaku.
Tiong juga ingin mengulangi pendiriannya bahawa apa yang saya bangkitkan adalah semata-mata untuk menambahbaik serta memperbaiki kelemahan yang ada melibatkan industri pelancongan di seluruh negara, bukannya hanya tertumpu di negeri-negeri tertentu seperti Kedah.
Tiong juga tidak menafikan kelemahan yang wujud, termasuk ketirisan dan penyalahgunaan kuasa pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri. Kita semua perlu memainkan peranan bersama-sama bagi memastikan kejadian-kejadian yang negatif atau tidak membawa manfaat malah merugikan negara sepatutnya tidak berulang di masa hadapan.
Tiong menyeru kepada semua agar berganding bahu dan mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni, unik serta kaya dengan khazanah yang tiada di negara lain dan menolak gambarkan Malaysia sebagai negara ekstrem dan dikuasai oleh pelampau agama serta kaum tertentu, hanya kerana kemaruk meraih publisiti sendiri tanpa menghiraukan kesan buruk yang menimpa negara sehingga merugikan rakyat Malaysia.
Perkara yang paling penting sekali adalah semua pihak tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang haruslah saling menghormati antara satu sama lain. Kita tidak boleh memaksa pihak yang lain untuk mengikuti kepercayaan kita dan hak seseorang itu sudah dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan yang kita pegang selama ini. Tiong juga menyeruseluruh rakyat bekerjasama untuk mempromosikan industri pelancongan Malaysia dan mengembalikan semula kegemilangannya. – SM
Artikel berkaitan > Tiong mohon tingkatkan kemudahan untuk pesakit buah pinggang di Bintulu dan Sibu