Hiburan

Filem TyIcKooUnS guna platform ewayang.com untuk tayangan Selasa ini

LAPAN tahun lamanya pembikinan sebuah karya berjudul TyIcKooUnS siap tetapi ia tidak dapat dilancarkan disebabkan pihak produksi terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Semangat dan iltizam yang tersemat dalam diri mereka yang terbabit dalam TyIcKooUns sentiasa membara demi memastikan suatu hari nanti, karya ini akan menemui khalayak.

Kita semua yang beragama Islam bakal menyambut kedatangan 1 Syawal minggu depan. Sempena mengambil keberkatan hari kemenangan kerana menyempurnakan ibadah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan maka TyIcKooUns bakal menemui penonton pada hari Selasa, 22 Mei 2020.

Cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak penerbitan TyIcKooUnS nampaknya tidak pernah surut kerana dalam keadaan negara dilanda masalah pendamik COVID-19 dan usaha bersama kerajaan dan rakyat untuk memutuskan rantaian wabak tersebut, kita semua di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat kedua (PKPB2.0).

Kita semua dinasihatkan diam di rumah atau #stayathome tetapi itu bukanlah tanda pengakhiran untuk karya yang siap pembikinannya ini sejak tahun 2012 menemui jalan buntu.

Menggunakan platform dalam talian atau online laman sesawang sendiri bagi menerbitkan filem sulung, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan cuma ia adalah cabaran era baharu.

Sebagai penerbit, Noor Ismahanum Mohd. Ismail mempertaruhkan naskhah hasil nukilan Khairunazwan Rodzy yang juga merupakan salah seorang penggiat seni teater tanah air untuk menghasilkan sebuah karya layar lebar yang berpaksikan kepada kehidupan sejagat.

Jika ada yang tertanya-tanya, apakah maksud TyIcKooUns, ia membawa maksud yang menggabungkan dua perkataan iaitu ‘tycoon’ dan ‘tikus’. ‘Tycoon’ diilustrasikan sebagai simbol paparan kehidupan manusia yang pelbagai ragam manakala ‘tikus’ pula menjadi simbol dalam filem ini dengan gambaran, sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meragut serta merampas hasil orang lain. Begitulah metafora yang dizahirkan menerusi TyIcKooUnS.

Filem ini juga merupakan arahan sulung Izan Hailmey Mokhtar yang sebelum ini, lebih banyak melibatkan diri sebagai Pengarah Dokumentari dan filem iklan bebas.

“Adegan dalam TyIcKooUnS adalah satu ironi. Rentetan bermula di Kampung Siem Pang sebelum kampung terpencil itu didudui oleh golongan manusia yang telah dibuang negeri dan dipinggirkan oleh masyarakat.

“Gelaran kampung itu ialah ‘Siem Pang’, diperoleh daripada seorang banduan yang juga bekas gerila yang melarikan diri dari penjara dan bersembunyi di kampung tersebut,” kata penerbitnya.

Bermodalkan RM2 juta filem yang mengambil masa selama 33 hari penggambarannya, menggunakan sekitar Negeri Sembilan, Endau dan Rompin sebagai lokasi penggambaran.

Jangan lupa, Selasa ini, saksikan tayagan filem TyIcKooUnS menerusi ewayang.com, platform online yang secara perlahan-lahan menjadi amalan hidup baharu atau norma baharu rakyat Malaysia.

Kata penerbit, beliau menyimpan hasrat ingin memajukan platform online sedia ada (ewayang.com) yang mana filem TyIcKooUnS menjadi filem pertama ditayangkan.

Selain itu, penerbit juga menyimpan impian untuk memberi peluang kepada mana-mana pembikin filem persendirian atau independent berkongsi ruang dan peluang untuk memaparkan karya mereka secara dalam talian.

“Jangan pernah putus semangat, teruskanlah berkarya” – moto yang mungkin dipegang oleh sang penerbit.

Akhir kalam, ewayang.com juga mempunyai tenaga kerja yang mahir dalam bidang pemasaran dan promosi bagi mana-mana pihak penerbitan yang ingin berkarya bersama ewayang.com.

Selain menggunakan khidmat pelakon tempatan, filem TyIcKooUnS juga menampilkan pelakon dari Indonesia.

Berikut nama-nama senarai pelakon Malaysia Aaron Aziz. Remy Ishak, Bront Palare , Yank Kassim, Adam Corrie Abdullah, Hilal Azman, Datuk Malek Noor, Aman Graseka, Dramatis Fauzi Nawawi, Anzalna Nasir, Aziz M.Osman, Aida Aris, Watie Elite, Syed Yusof Wilcha, Wan Hanafi Su, Amar Asyraf, Naeim Daniel, Josiah Hogan, Kamarool Yusof, Sherry Merlis, Ben Kanobi, Shuib Sepahtu, Tauke Jambu dan Azhan Rani – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button