
Filem ‘Raya Emas’, Fantasi Memukau yang Menyelami Warisan Suku Salako
FILEM “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” telah mencetuskan fenomena dalam industri perfileman Malaysia dengan gabungan kisah yang memukau, sinematografi yang menawan, serta elemen budaya Sarawak yang autentik. Tayangan perdana filem ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut memberi pendedahan kepada keindahan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang unik.
Majlis tayangan perdana pada 24 Mac telah dihadiri oleh barisan pelakon utama seperti Winson Voon, Dunstun Luther Junior, Nina KSC, dan Marc Benjamin. Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu khas, Timbalan Pengerusi FINAS, En. Noor Azam Shair.
Menurut Penerbit Eksekutif, Winson Voon, filem ini bukan sahaja mengetengahkan jalan cerita yang menarik tetapi juga menampilkan keunikan masyarakat Salako di Sarawak dengan sinematografi yang mempesonakan.
“Saya amat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi. Peranan kementerian dalam membantu merealisasikan projek ini amat penting, terutama dalam mempromosikan potensi pelancongan negeri melalui medium filem,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak kementerian turut melihat potensi filem ini untuk menarik perhatian pelancong antarabangsa dengan memperkenalkan keindahan Sarawak kepada khalayak global. Usaha sama ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan industri pelancongan, malah membuka peluang kepada lebih banyak pengeluaran filem bertaraf antarabangsa di negeri itu.
“Raya Emas – Salako Sacred Treasure” mengisahkan tentang perjalanan Zul (dilakonkan oleh Winson Voon), seorang bapa yang terdesak; Ansamah (Dunstun Luther), seorang anak angkat yang ingin membuktikan kemampuannya sebagai penjaga Salako, dan sekumpulan penjelajah muda yang diketuai oleh Diana (Ahirine Ahirudin), seorang gadis dengan kebolehan meramal luar biasa.
Sebahagian besar penggambaran filem ini dilakukan di Lundu, Sarawak, dengan 90% daripada pelakon terdiri daripada anak tempatan. Hal ini menjadikan filem ini sebagai platform terbaik untuk mempamerkan bakat seni tempatan dan memperkukuhkan industri perfileman di Malaysia.
“Meskipun kisah tentang ‘Raya Emas’, bunga emas yang memiliki kuasa penyembuhan luar biasa ini adalah fiksyen, filem ini tetap berpegang kepada elemen budaya dan tradisi masyarakat Salako yang kaya dengan warisan,” jelas Winson.
Menurutnya, menyokong filem seperti ini bermaksud melabur dalam masa depan industri pelancongan Sarawak serta pertumbuhan ekonomi negeri. Filem ini diharapkan dapat menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama penggambaran filem dan tarikan pelancongan bertaraf dunia.
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Tinytune Production, Filmmaker Studio, Sky Picture, dan Filmforce Studio.
Nikmati pengalaman sinematik yang luar biasa dengan “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 3 April. Saksikan sendiri keajaiban dan keindahan warisan Sarawak di layar perak!
SINOPSIS
Di tengah-tengah hutan hujan Borneo, tersebar legenda tentang “Raya Emas”, bunga emas mistik yang dikatakan mempunyai kuasa penyembuhan luar biasa. Kisah ini mengisahkan perjalanan Zul, seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan anaknya yang sakit; Ansamah, seorang anak angkat ketua suku yang berusaha membuktikan dirinya layak sebagai penjaga Salako; dan Diana, seorang gadis dengan kebolehan meramal yang secara tidak sengaja terlibat dalam misi ini.
Zul menemui jurnal lama yang menyatakan tentang keberadaan “Raya Emas”. Tekad untuk mencari bunga legenda itu membawanya ke dalam hutan hujan Borneo yang belum diterokai. Dalam masa yang sama, Diana dan rakan-rakannya turut melakukan ekspedisi dan menemui bunga tersebut. Namun, tindakan mereka membawa kepada gangguan sihir pelindung dan menyebabkan kekacauan dalam suku Salako.
Diana dan Ansamah kemudiannya bersatu untuk mengembalikan semula “Raya Emas” dan mengembalikan keseimbangan di kampung mereka. Ketika misi ini berlangsung, satu ramalan membongkar takdir Diana sebagai penjaga baru bunga tersebut, menjadikan perjalanan ini bukan sekadar pengembaraan tetapi juga pencarian jati diri dan keberanian.
Ansamah akhirnya menggunakan kuasa bunga itu untuk menyembuhkan anak Zul, sekaligus memulihkan keharmonian di kampungnya. Filem ini membawa mesej mendalam tentang harapan, keberanian, dan penebusan, dengan latar belakang hutan hujan yang menakjubkan, menjadikan ia satu pengalaman sinematik yang tidak boleh dilepaskan.