Filem Mat Kilau buka mata Melayu moden keperitan perjuangan orang terdahulu
TAYANGAN Perdana filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya menepis persepsi segelintir orang awam yang mahu filem berkait dengan nama Mat Kilau diangkat 100 peratus menurut sejarahnya.
Namun bijaknya penulis skrip dan pengarahnya yang tidak mahu terikat dengan konsep biografi atau dokumentari, ia diangkat sebagai inspirasi untuk wadah pembinaan jati diri bangsa.
Ujar salah seorang penonton tayangan perdana filem tersebut, Suraya, 29, naratif penceritaan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah sesuatu yang baharu untuk perfileman bercorak sejarah.
“Paling bagus, generasi hari ini secara tidak langsung boleh mengetahui serba-sedikit mengenai perjalanan hidup dan perjuangan Allahyarham Mat Kilau.
“Saya tak menyangka filem ini turut membuatkan saya bersemangat dan pada pendapat saya, filem yang bercorak sejarah perlu diperbanyakkan sebagai hiburan bermatlamat,” katanya.
Suraya berkata demikian setelah menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan pengarah berbakat, Syamsul Yusof di GSC Starling Mall, baru-baru ini.
Seorang lagi penonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Wan Chik, 34, berkata, tujuan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menggabungkan elemen sejarah dan komersil adalah bersebab.
“Sejarah tidak harus disimpan bagai dalam peti besi sebaliknya perlu ada pihak yang memikirkan cara untuk menyampaikan mesej sejarah itu secara terbuka.
“Kita perlu memperingatkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain mengenai perjuangan pahlawan yang pertahankan tanah air,” katanya.
Seorang belia, Danish, 18, berpendapat, filem berinspirasi sejarah terdahulu membuatka dia mengenal bagaimana kepayahan perjuangan orang-orang Melayu terdahulu.
“Filem ini memberikan inspirasi kepada saya. Sebelum ini, saya ingatkan ia sekadar cerita fiksyen namun selepas menonton, saya lebih bersemangat dan saya harapkan perlu ada filem Mat Kilau 2,” ujarnya. – SM