Hiburan

Fieya Julia sering kemurungan sebelum ‘berhijrah’

PENAMPILAN penyanyi, Fieya Julia yang kini sudah berhijab menjadi tumpuan baru-baru ini dan penyanyi berasal dari Sarawak ini juga mempunyai sebab mengapa dia berhijab.

Menurut Fieya, sebelum ‘berhijrah’ dia selalu kemurungan, kerap ada masalah dan sedih tiba-tiba. Dia merasakan apa yang dibuat semuanya tak mencukupi.

“Sebenarnya sebelum berhijab, Fieya selalu kemurungan, ada masalah dan rasa stres serta sedih tiba-tiba. Fieya rasa apa benda yang Fieya buat tak cukup.

“Sebelum ini saya rasa banyak sangat gangguan dari segi macam-macam seperti tekanan bekerja. Bila tidak bertudung banyak perkara perlu dilakukan seperti nak kena dandan rambut la.

“Itu satu kebaikan juga bila berhijab tak perlu fikir itu semua. Fieya rasa sebelum ini ramai lelaki gatal yang DM (direct message), mereka ingat penampilan Fieya yang free hair tu mesti Fieya sporting.

“Dah nama orang gatal, kalau kita berhijab atau tak, bila mereka dah suka memang akan flirt juga.

“Fieya bersyukur sangat kerana mengambil keputusan untuk berhijab. Sebelum ini pernah berhijab tapi on off, sekarang kalau boleh nak kekal kerana selepas berhijab rasa lebih tenang saja. Sebenarnya dah lama ada niat untuk berhijab tapi over thinking,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan memulakan perniagaan tudung selepas berhijab seperti yang dilakukan kebanyakan artis lain, jelas Fieya, dia belum terfikir lagi ke arah itu.

Jelasnya, sebelum bertudung, ramai yang memberinya tawaran untuk menjadi meodul produk tudung tetapi dia belum bersedia.

“Bila berhijab pun Fieya tak bersedia untuk jadi model mana-mana jenama tudung. Kalau sendiri berniaga mungkin ada perancangan.

Sekarang ini banyak sangat artis jual tudung. Kalau Fieya ada bisnes nanti pun tak akan keluar produk tudung. Sejujurnya Fieya berhijab ini bukan sebab nak ada bisnes tapi  nak ubah diri daripada sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fieya juga teruja apabila lagu ciptaannya sendiri berjudul Halusinasi mendapat sambutan yang baik daripada peminat.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali mencipta lagu namun tidak diterima oleh syarikat rakaman sebelum ini.

“Fieya tak sangka lagu Halusinasi ini menjadi pilihan untuk syarikat. Rasa seronok dan takut juga sebab sebelum ini Fieya nyanyi lagu ciptaan komposer profesional.

“Fieya ni masih baharu dan tak pernah keluarkan single ciptaan sepenuhnya daripada Fieya. Agak takut, manalah tahu pendengar tak boleh terima lirik tulisan Fieya sebab masih belajar. Semua ini Fieya buat ikut idea sendiri, ada rasa takut dan teruja. Rasa bersyukur pun ada juga,” kongsi Fieya tentang keterujaannya bila Halusinasi menjadi single baharu.

Sebelum ini, nama Fieya melonjak naik menerusi lagu Perasaanku, ciptaan Amir Hariz yang diterbitkan pada 2018 dan mendapat 45 juta tontonan di YouTube, malah lagu tersebut juga diangkat sebagai lagu tema drama Semua Salahku.

Lagu Halusinasi dapat dilayari di pelbagai platform streaming seperti Apple Music, iTunes, Sportify, Joox, KKBox dan Deezer. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button