Nasional

Fadillah, MB Johor bincang isu sumber bekalan air negeri

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengadakan pertemuan dengan kerajaan Johor bagi membincangkan isu sumber bekalan air dan projek-projek berkaitan di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertemuan berlangsung di Kuala Lumpur itu, turut dibincangkan ialah projek sumber dan bekalan air negeri, cadangan baharu projek sumber air, dan model pembekalan air ke pusat data.
“Kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik, komersial serta kegunaan pelbagai industri,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Onn Hafiz berkata, dengan mengambil kira pembangunan pesat yang bakal berlaku di Johor, selain wujudnya projek berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pihaknya yakin permintaan terhadap bekalan air juga pasti akan meningkat.
Justeru, menurut beliau, pelbagai usaha sedang dirangka dengan teliti untuk menambah kapasiti bekalan air mengikut keperluan semasa dengan perancangan jangka sederhana dan panjang.
“Semua ini demi memastikan kelestarian dan kesejahteraan rakyat Johor akan terus terbela dan terpelihara. Besar harapan kerajaan negeri agar cadangan yang dibentangkan ini diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.
“Semoga segala usaha ini membawa manfaat yang besar serta kebaikan berkekalan buat semua pihak terutamanya rakyat Johor,” kata Onn Hafiz. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button