Nasional

Fahmi ajak semua rakyat junjung titah Agong

SELURUH rakyat Malaysia diminta untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai adab menggunakan media sosial, bersempena dengan sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M hari ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, antara titah Seri Paduka Baginda ialah mengingatkan semua rakyat agar tidak menjadikan media sosial tempat berbalah atau bertengkar.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya rakyat tidak membuka aib sesiapa atau menularkan perkara memalukan kerana akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.
“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama,” kata Fahmi dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Fahmi berkata rakyat perlu menjunjung titah Seri Paduka Baginda itu kerana perpecahan tidak akan memenangkan sesiapa.
“Semoga dengan kedatangan tahun baharu 1446H, Allah SWT mengurniakan keimanan dan ketakwaan kepada kita semua,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan mengangkat tema “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI” sebagai asas penghayatan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Katanya, tema itu merupakan manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW dan tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button