EMPAT warga Indonesia direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes curi duit zakat fitrah berjumlah RM22,000 dari kenderaan milik seorang amil zakat di Kangar, Perlis, Rabu lalu.
Suspek yang dipercayai berusia 39 hingga 48 itu ditahan di sekitar Perlis pada Khamis lalu selepas mangsa berusia 63 tahun membuat laporan di Balai Polis Kangar pada hari yang sama.
Harian Metro memetik sumber sebagai berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 11.25 pagi di Jalan Kangar Jaya 1, Kangar di mana mangsa baharu selesai membeli kipas angin di sebuah kedai elektrik.
“Apabila mangsa mendekati Toyota Hilux berwarna putih miliknya, dia terkejut melihat cermin pintu pemandu dipecahkan seseorang.
“Mangsa kemudian memeriksa pelbagai barangan yang diletakkan dalam kenderaannya dan mendapati wang tunai berjumlah RM22,000 dipercayai wang kutipan zakat fitrah Ramadan tahun ini hilang, dipercayai dilarikan.
“Dua buku resit kutipan zakat fitrah dan senarai nama asnaf dari sebuah mukim di daerah Perlis turut hilang,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai menjual perkakasan rumah dan elektrik di tempat kejadian dan empat lelaki bekerja sebagai buruh kontrak dan peniaga baju terpakai ditahan.
Ketua Polis Perlis, Surina Saad dipetik akhbar itu mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – FMT
BACA Perlis kekal kadar zakat fitrah RM7
BACA Jururawat lelaki, isteri didakwa curi barang kemas bernilai RM12,000