Empat beranak jalan kaki hampir 300 kilometer untuk pulang kampung
JIKA di negara kita orang ramai bersesak dikesan pulang ke kampung terutamanya lokasi tujuan Pantai Timur, tetapi kisah lebih menyedihkan berlaku di negara tetangga, Indonesia
Pasangan suami isteri bersama dua anak berusia setahun dan tiga tahun berjalan kaki hampir 300 kilomter untuk pulang kampung.
Di Google Maps, jarak Gombong, Kabupaten Kebumen, Jawa Tengah (Jateng), ke Soreang, Kabupaten Bandung, Jawa Barat (Jabar), tertulis 295.5 kilometer. Jarak itu bisa ditempuh dalam 6 jam 32 minit mengikut jalan nasional. Tentu dengan catatan: jika menggunakan kenderaan bermotor. Kalau jalan kaki?
Apalagi sambil membawa dua anak kecil? Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Berita itu dilaporkan oleh beberapa media tempatan Indonesia mengisahkan Dani beserta isteri dan kedua-dua anaknya yang baru berusia 1 tahun dan 3 tahun. Mereka sampai di Ciamis, Jawa Barat, setelah lima hari menempuh perjalanan dari Gombong ke Soreang, di Bandung.
Mereka berangkat pada Ahad (2/5) selepas asar, terus berjalan sampai sekitar pukul 8 malam sebelum berehat di masjid atau stesen minyak. Selepas subuh, mereka berjalan kaki lagi sampai sekitar pukul 10 pagi. Mereka berehat ketika cuaca panas dan menyambung perjalanan selepas asar.
Dani, dilaporkan bekerja sebagai tukang jahit di Gombong hanya bawa bekal Rp100,000 rupiah atau kira-kira RM35.