KERAJAAN bertegas akan menarik balik elaun sara hidup terhadap mana-mana nelayan yang dikesan melakukan pekerjaan lain secara “part time”.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, jika sudah bekerja di tempat lain di mana telah menerima faedah skim seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) maka ia dikategori sudah tidak layak lagi menerima elaun sara hidup sebagai nelayan.
Beliau berkata, berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan, setiap penerima elaun sara hidup ini mesti aktif ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun.
“Kita memang melakukan proses pemutihan dengan kerjasama persatuan nelayan kawasan yang dilaksanakan pada setiap bulan bagi mengesan nelayan yang yang tidak aktif,” katanya kepada sidang media selepas majlis Program Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di Pusat Transformasi Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis hari ini.
Muhammad Faiz berkata, sebanyak 500 anak nelayan dari lima negeri mendapat manfaat dari program Program Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah.
Katanya, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LKIM ini dianjurkan dengan kerjasama Petronas Dagang Berhad dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
Tambahnya, tajaan oleh Petronas Dagangan Berhad sebanyak RM10,000 manakala Yayasan Anak Nelayan Malaysia (YANEM) yang merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawah NEKMAT pula RM5,000 yang kesemua berjumlah RM15,000.
Sementara itu, 100 anak nelayan PNK Perlis Selatan menerima bantuan itu berupa beg sekolah, topi, botol air, buku nota dan alat tulis serta kupon tunai yang kesemua bernilai RM150 setiap seorang. – SM