JAUHKAN diri daripada terjebak dengan sebarang aktiviti yang tidak bermoral dan tidak berfaedah sehingga melanggar batasan agama dan juga undang-undang.
Kita juga mestilah sama-sama memainkan peranan bagi menjalankan tanggungjawab dalam mempertahankan keamanan negara dengan menghayati prinsip-prinsip Rukunegara dengan erti kata yang sebenarnya.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 asnaf di Masjid Osmaniah, Kok Ma, Batu 20, Jalan Padang Besar baru-baru ini.
Program kali ini melibatkan 70 penerima dari Kariah Masjid Osmaniah, Kok Mak dan 70 lagi penerima dari Kariah Masjid Al-Huda, Felda Mata Ayer yang mana masing-masing menerima RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sebanyak RM98,000.
Pada majlis berkenaan, Raja Muda juga mengingatkan golongan “Belia Harapan Bangsa” supaya apabila menjadi pemimpin kelak ingatlah perumpamaan berbunyi ; “Kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar”.
Jadilah pemimpin yang amanah, bijaksana, cintakan ilmu dan berguna kepada masyarakat, bangsa dan agama.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, dalam usaha para pemimpin untuk mewujudkan sebuah negeri dan juga negara yang memberikan kehidupan rakyatnya yang lebih gembira, maka luangkanlah banyak masa dengan merujuk kepada bahan bacaan yang ditulis mengenai pemimpin-pemimpin tamadun-tamadun yang hebat, unggul nilai peradabannya dan sangat maju teknologinya serta mantap pengurusannya pada suatu ketika dahulu sebagai panduan dan pengajaran yang memanfaatkan. – SM
Artikel berkiatan > Raja Muda zahir syukur perpaduan kukuh di Perlis