Elak kibar bendera putih jika berasa aibkan diri sendiri – Mufti WP
Masyarakat dinasihatkan agar tidak mengibarkan bendera putih untuk memohon bantuan jika berasa perbuatan tersebut boleh mendatangkan aib kepada diri sendiri.
Menurut Mufti Wilayah Persekutan Datuk Dr Luqman Abdullah, hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif terhadap melihat perkara tersebut.
Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan.
Sebaliknya jika perbuatan itu dilihat boleh mengaibkan diri sendiri maka wajar dielakkan.
“Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan.
“Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk bagaimana yang dirasakan selesa,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan seorang individu yang inginkan penjelasa berkenaan isu mengibarkan bendera putih.
“Isu ni asalnya pasang bendera putih sebagai isyarat untuk minta bantuan jika ada yang dalam kesusahan era Perintah Kawalan Pergerakan, namun ada yang mengatakan tidak boleh kibar atau pasang bendera putih kerana seperti membuka aib dan ia menunjukkan kekalahan dan tanda putus asa. Mohon penjelasan tuan mufti untuk isu ini,” tanya individu terbabit.
Dr Luqman menjelaskan, meminta bantuan ketika kesusahan tidak dilarang di dalam Islam. Bahkan digalakkan untuk mereka yang mampu dari segi harta mencari orang-orang yang susah dan fakir miskin.
Bagaimanapun perbuatan meminta-minta adalah dilarang sekiranya orang meminta tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan keperluannya mencukupi.
Namun begitu, dalam keadaan memaksa dan tersepit, meminta bantuan adalah perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan.
Tegas beliau, suasana pandemik sekarang adalah berbeza dan di luar dari kebiasaan yang pernah dihadapi masyarakat.
Terdapat banyak pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang.
“Oleh itu tidak sepatutnya sebarang isu yang berkaitan dengan bantuan dan meminta bantuan dipolemikkan.
“Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing.
“Apa yang penting tunjukkan akhlak dan perilaku yang mulia di semua keadaan,” nasihat beliau.-SM