Ekonomi

Ekonomi berkembang sebanyak 5% pada suku keempat tahun 2024

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5% pada suku keempat 2024 (S3 2024: 5.4%), didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Aktiviti  pelaburan yang kukuh disokong oleh pelaksanaan berterusan projek baharu dan projek sedia ada. Perbelanjaan isi rumah terus mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar yang berterusan.

Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan terus berkembang manakala pertumbuhan import modal dan import perantaraan menjadi sederhana.

Dari segi penawaran, pertumbuhan disebabkan terutamanya oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan, dengan peningkatan sokongan daripada subsektor berkaitan pengguna dan berkaitan perniagaan.

Sektor perkilangan disokong oleh kelompok E&E dan kelompok berkaitan sumber.

Sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dengan aktiviti yang mantap dalam subsektor kediaman, bukan kediaman dan pertukangan khas.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan dipengaruhi oleh penguncupan dalam sektor komoditi berikutan pengeluaran kelapa sawit yang lebih rendah serta pengeluaran minyak yang terus menurun. Pada asas suku
tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkurang sebanyak 1.1% (S3 2024: +1.9%).

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1% pada tahun 2024 (2023: 3.6%). Keadaan ini disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan pemulihan dalam eksport.

Di dalam negeri, pertumbuhan didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih mantap,  mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, langkah-langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kedudukan kewangan isi rumah yang kukuh.

Selain itu, kelulusan pelaburan yang mantap serta projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta, termasuk inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional (iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional), memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan pelaburan.

Dari segi faktor luaran, eksport pulih berikutan pertumbuhan global yang stabil, peningkatan kitaran teknologi yang berterusan serta ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

Keadaan ini memberikan sokongan pada akaun semasa, yang selanjutnya terus menghasilkan lebihan sebanyak 1.7% daripada KDNK pada tahun 2024 (1.5% pada tahun 2023). – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button