Ebit Lew Islamkan lagi 490 Bajau Laut di empat kampung
SELEPAS membantu 157 orang kaum Bajau Laut mengenal Allah dan mengucap kalimah syahadah kelmarin, pendakwah bebas Ebit Lew sekali lagi membawa 490 orang kaum tersebut memeluk Islam.
Ahli perniagaan itu yang sedang dalam misi bantuan kemanusiaan di Sabah membimbing penduduk dari empat buah perkampungan di Semporna itu menjadi seorang muslim hari ini.
Menurut Ebit, kaum Bajau Laut yang tinggal di atas air di kawasan lautan di negeri itu majoritinya tidak mempunyai agama.
Dia yang berada di Semporna selama dua hari hadir untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang didakwa tidak mempunyai negara itu selepas mendengar mereka memerlukan bekalan makanan.
Pendakwah tersebut menitiskan air mata terharu kerana dapat membimbing penduduk mengucapkan syahadah dan sekaligus mengIslamkan masyarakat Bajau Laut tersebut.
“Syukur dapat bimbing mereka syahadah. Niat kerana dengar orang memerlukan bekalan makanan terus ke kawasan Bajau Laut yang tiada negara.
“Melihat hidup mereka hidup atas air. Ada atas bot. Hidup atas air sepenuhnya. Sekali-sekala ke darat. Mereka tiada agama. Sampai mereka bertanya tentang tuhan. Kami tidak tahu tentang tuhan.
“Mereka dengan rela hati ingin memeluk Islam. Sayu dengar mereka mengucap syahadah,” kata Ebit Lew.
Ebit yang mengetuai pasukan bantuan kemanusiaan itu merancang untuk membina tiga buah sekolah sebagai tempat pendidikan kepada anak-anak Bajau Laut tersebut.
Pasukannya berjaya membawa kayu dan bahan-bahan yang diperlukan untuk membina sekolah dan telah memulakan pembinaan tempat pendidikan yang akan mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan.
Terdapat enam orang guru untuk mengajar asas membaca, menulis dan mengira serta asas agama Islam, akhlak kepada anak-anak masyarakat tersebut..
“Saya akan bayar gaji guru. Dan akan cuba bantu mereka secara berterusan. Cikgu akan tinggal di sana.
Menangis jer hari ini.
“Terima kaseh Maritim menyediakan dan bantu kami dari mula sampai habis. Terima kasih PDRM. Terima kasih Komando 69 dan PGA dan ATM.
“Terima kasih pengurusan Taman-taman Sabah yang memudahkan kami bina sekolah. Terima kasih NGO yang terlalu banyak membantu mereka. Ini sedikit usaha kecil kami. Semoga menjadi asbab kebaikan,” doa Ebit.
Semalam Ebit dilaporkan mengIslamkan 157 orang kaum Bajau Laut secara beramai-ramai.
Dalam gambar yang dikongsi, Ebit mengajar kesemua mereka mengucap kalimah syahadah dari atas bot.-SM