Nasional

Dulu jurusolek artis tetapi kini usahawan kedai penjagaan kucing

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 23 Mac – Dulu Faizal Maklip, 34, adalah seorang jurusolek artis dan usahawan butik pengantin selain
memiliki sebuah restoran.

Namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 perniagaannya
merudum kerana tidak dapat beroperasi. Sepanjang tempoh PKP, perniagaannya terjejas teruk apa lagi kerugian yang ditanggungnya.

Ideanya buntu untuk mempertahankan perniagaan yang dipeloporinya sejak lebih 14 tahun.

Begitupun, sepanjang tempoh PKP terpacul ideannya untuk mengusahakan kedai penjagaan kucing yang tidak
pernah terfikir dibenak fikirannya.

Berbekalkan modal sebanyak RM300,000, Faizal yang masih bujang itu bertekad beralih mengusahakan kedai
penjagaan kucing, Zoola Premium di Plaza Pandan, Malim dekat sini.

Biarpun tiada asas dalam penjagaan kucing namun buatnya dia tetap cekal dan memberanikan diri untuk
membuka kedai tersebut bagi merealitikan impiannya.

Menurut pemegang Diploma Pengurusan Perhotelan daripada Politeknik Pasir Gudang, Johor itu, walaupun
mengusahakan kedai penjagaan kucing jauh daripada pengalamannya dalam bidang perniagaan lain namun ia
tidak menjadi penghalang.

“Idea untuk membuka kedai penjagaan kucing tercetus setelah melihat perniagaan ini tidak terkesan sewaktu
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding yang lain terjejas teruk termasuk kedai butik saya turut rugi
teruk.

“Saya buat kajian sewaktu PKP dan melihat perniagaan kucing ini mampu menjana pendapatan dalam apa keadaan
sekalipun kerana peminat kucing begitu ramai dan sanggup melabur apa sahaja untuk keselesaan haiwan ini di
seluruh negara.

“Justeru, saya membulatkan tekad untuk menghadiri pelbagai kursus mengenai penjagaan kucing dan
mengeluarkan duit simpanan untuk membuka kedai ini,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari
ini.

Faizal yang masih belum berkahwin berkata, Zoola Premium kini menjadi tarikan pelanggan kerana konsep
kedai yang ditampilkan seperti butik, hotel dan spa.

Katanya, walaupun usia kedainya menjangkau dua bulan namun konsep yang ditampilkan itu berjaya
menghasilkan pendapatan RM40,000 sebulan sejurus dibuka pada Februari lalu.

“Saya tampilkan kelainan jika setakat menjual makanan dan aksesori kucing payah untuk saya bersaing kerana
terlalu banyak kedai penjagaan haiwan ini.

“Justeru, saya utamakan penjagaan untuk haiwan ini seperti grooming, khidmat mendandan kucing, memotong
kuku, memotong bulu dan sebagainya hingga menarik ramai pelanggan datang ke kedai saya,” ujarnya.

Faizal berkata, perkhidmatan hotel untuk haiwan itu turut disediakan dengan kadar bayaran RM25 semalam
selain khidmat grooming serendah RM49 bagi yang memilih kategori premium bayaran dikenakan mencecah hanya
mencecah RM79.

Jelasnya, apa yang menarik tempat dandanan kucing direka bentuk seperti sebuah spa dan kedainya dibuka
daripada pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam serta ditutup pada setiap hari Isnin.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button