Nasionalpilihan

Dua warga asing didakwa terlibat dalam usaha culik kanak-kanak ditahan polis!

Kuala Lumpur: Polis menahan dua wanita warga asing berhubung dakwaan cubaan culik seorang kanak-kanak di Genting Highlands, Bentong, Pahang, yang tular di media sosial, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, satu laporan polis dibuat bapa kanak-kanak berkenaan berusia 33 tahun jam 1.20 tengah hari, Selasa lalu.

“Susulan itu, kami merakam keterangan pengadu dan saksi berhubung insiden berkenaan yang dirakam menerusi satu video berdurasi satu minit 20 saat yang turut tular di media sosial.

“Hasil siasatan dilakukan, kami menahan dua wanita warga asing masing-masing berusia 42 dan 50 tahun jam 11.30 pagi tadi, bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan culik yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

“Kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan anak-anak khususnya di tempat yang sesak bagi mengelak perkara tidak diingini.

Sebelum ini media melaporkan, pihak keselamatan Genting Highlands membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang kanak-kanak yang dikatakan hampir menjadi mangsa culik seorang wanita warga asing.

Zaiham dipetik berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 20 saat melalui akaun Tik Tok milik @alfitry_azmi52 yang dimuat naik di laman Facebook ‘Daily Traffic Report’, Isnin lalu.

Menurutnya, dalam video itu mendakwa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik seorang wanita warga asing di Genting Highlands.

Susulan itu, katanya, pihak keselamatan Genting Highlands membuat laporan polis jam 8.16 malam pada Isnin berhubung video yang tular berkenaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button