Dua Pensyarah FSSK UPSI raih anugerah pembentang terbaik di Persidangan Antarabangsa Anjuran University of Mostar, Bosnia & Herzegovina
DUA pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI berjaya meraih anugerah di Persidangan Antarabangsa Academia Conference of Social Science yang dianjurkan di Mostar, Bosnia & Herzegovina pada 9 hingga 11 Oktober 2023.
En Yusop Ahmad berjaya meraih Anugerah Best Practical Presenter setelah membentangkan kajian yang bertajuk ‘An Observation Instrument for Technical and Tactical Actions in Soccer Offense Phase: Design, Validation, and Reliability’.
Sementara itu, pensyarah, Dr. Ali Md Nadzalan berjaya meraih anugerah Best Presenter setelah membentangkan kajian beliau bertajuk ‘Football Defensive Actions Development in Small-Sided and Conditioned Games’.
Kedua-dua pembentangan ini merupakan hasil kajian yang diperolehi daripada Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS).
Anugerah diumumkan secara langsung di Facebook Rasmi Persidangan ACSS pada 17 November 2023 oleh Pengerusi Penganjur, Profesor Adin Faljic.
Selain itu, kedua-dua pensyarah FSSK tersebut turut berkesempatan melawat fasiliti, makmal dan kemudahan Sains Sukan di University of Mostar. Mereka disambut oleh Pengarah Hubungan Antarabangsa, Profesor Inja Stojkic dan Ketua Jabatan Kinesiologi, Profesor Miran Pehar.
Perbincangan kerjasama telah dijalankan dan deraf kerjasama antara kedua pihak telah dirangka untuk kerjasama akademik dan penyelidikan pada masa akan datang.
Menurut En. Yusop Ahmad, ‘Jabatan Kinesiologi di University of Mostar mempunyai tenaga akademik yang sangat komited dalam mendidik dan berkongsi ilmu.
“Kerjasama antara FSSK dan Jabatan ini akan membolehkan aktiviti-aktiviti berkaitan perkongsian ilmu dapat dijalankan secara maya oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Sementara itu, Profesor Inja Stojkic berkata keterujaan beliau untuk menjalinkan kerjasama dengan UPSI.
Katanya, ini adalah kali pertama universiti berkenaan mengadakan perbincangan kerjasama dengan universiti dari Malaysia.
“Kami percaya dengan kerjasama ini akan memberikan banyak ruang dan peluang untuk perkembangan staf dan pelajar kami,” katanya. -SM
Baca : Agensi kerajaan diperdaya sindikit penipuan ‘Datuk Wira’ bernilai RM1 bilion