Nasionalpilihan

Dua murid SJKC teruja dapat nyanyi Dondang Sayang

“Saya tidak sangka boleh menang kategori Dondang Sayang kerana ini kali pertama saya menyanyi irama ini,” demikian ujar Sherlyn Wong Yunn Xuan, 11.

Murid Tahun 5 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang yang berpasangan rakan sekelasnya, Ng Chee Hua, 11, dinobatkan selaku juara kategori Dondang Sayang pada Festival Megah Bahasa di SJKC Pay Pong 1, Krubong baru-baru ini.

Sherlyn berkata, dia tidak menyangka dapat menyanyikan irama Dondang Sayang dengan sempurna walaupun hanya berlatih selama dua minggu bagi menyertai Festival Megah Bahasa.

“Saya sangat gembira dan tidak sangka apabila diumumkan sebagai pemenang. Sebenarnya irama ini sangat unik dan saya sangat teruja,” ujarnya.

Bagi rakan duetnya, Chee Hua pula berkata, dia sangat teruja apabila nyanyianya itu berjaya memenangi kategori Dondang Sayang.

Katanya, dia juga tidak menyangka walaupun kali pertama menyanyikan irama itu dia dapat menjiwai lagu tradisional Melaka dengan baik.

“Mulanya apabila cikgu memilih saya bertanding irama Dondang Sayang, saya menolaknya kerana merasakan susah menyanyikan lagu itu.

“Tetapi apabila saya berlatih diajar cikgu lama-kelamaan saya sangat teruja kerana keunikan melodinya dan saya rasa tidak susah menyanyikannya,” katanya.

Bagi murid Tahun 5 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kubu Melaka, K. Sukhaen, 11, berkata, dia memang meminati irama Dondang Sayang sejak dari Tahun 1.

Dia yang berpasangan dengan adiknya K. Satheash, 10, sekadar memenangi tempat kedua kategori Dondang Sayang.

Kata Sukhaen, kejayaanya meraih tempat kedua cukup membanggakan buat SJKT Kubu Melaka yang turut dinobatkan juara keseluruhan Festival Megah Bahasa.

“Saya sebenarnya sangat suka menyanyikan irama ini kerana ia sangat unik dan jarang kalau orang bukan Melayu mengalunkannya,” ujarnya.

Bagi adiknya, Satheash berkata, dia berminat untuk menjadi penyanyi dari kaum India yang dapat menyanyikan lagu Dondang Sayang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button