Hiburan

Dua Lipa batal konsert di Jakarta kerana isu keselamatan

PENYANYI pop terkenal dunia, Dua Lipa, telah mengumumkan pembatalan konsertnya yang dijadualkan di Jakarta, Indonesia, pada hari ini. Konsert yang merupakan sebahagian daripada siri Radical Optimism Asia Tour itu, dijadual berlangsung di Indonesia Arena, terpaksa dibatalkan disebabkan isu keselamatan pentas yang dikatakan tidak memenuhi piawaian keselamatan.

Dalam muat naik di Instagram, penyanyi berusia 29 tahun itu yang pernah merangkul tiga Anugerah Grammy meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi di hadapan peminatnya di Indonesia.

“Hati saya sedih apabila terpaksa memberitahu bahawa saya tidak akan dapat beraksi di Jakarta hari ini. Saya berada di sini, di negara yang indah ini, dan sudah bersedia untuk memberi yang terbaik, namun pentas dikategorikan sebagai tidak selamat untuk persembahan malam ini,” jelasnya dalam hantaran tersebut.

Dua Lipa menyatakan kekesalannya kerana sudah lama tidak berpeluang menghiburkan peminat di Indonesia, membuatkan pembatalan kali ini amat memilukan.

“Saya benar-benar menantikan malam ini, dan berita ini amat menyakitkan hati saya. Terasa begitu lama sejak kali terakhir saya beraksi di Jakarta, dan saya sangat berharap dapat kembali segera untuk menyanyi dan menari bersama anda semua,” katanya lagi.

Konsert jelajah Asia Dua Lipa telah dimulakan di Singapura dan akan diteruskan ke beberapa destinasi lain seperti Manila, Tokyo, Taipei, Bangkok, dan berakhir di Seoul, Korea Selatan pada 4 Disember.

Album terbarunya, Radical Optimism, yang dilancarkan baru-baru ini, sudah pun mencipta rekod dengan menduduki tangga teratas carta muzik di 11 negara, sekaligus menambah momentum bagi siri jelajah ini.

Di pihak produksi, Mataelang Productions yang bertanggungjawab dalam pengurusan pentas konsert di Jakarta turut mengeluarkan kenyataan rasmi. Mereka menjelaskan bahawa persiapan telah dilaksanakan dengan piawaian profesional yang tinggi, namun akur dengan keputusan pihak pengurusan Dua Lipa.

“Kami beroperasi dengan penuh dedikasi dan mengikut piawaian keselamatan yang ketat. Persiapan pentas telah siap sejak 6 November dan kami juga telah memperoleh sijil keselamatan daripada jurutera struktur bertauliah. Namun, pihak Dua Lipa merasa piawaian keselamatan tersebut masih belum mencukupi,” kata wakil Mataelang Productions.

Mereka juga memohon maaf kepada para peminat dan berjanji untuk terus memberikan komitmen dalam mengekalkan piawaian yang terbaik pada masa hadapan.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button