Dua juta vaksin tambahan untuk Selangor, KL dan N. Sembilan – PM
KERAJAAN akan membeli tambahan dua juta vaksin lagi untuk diagihkan kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bermula hujung bulan ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, tambahan dos vaksin itu bagi mempercepatkan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti di Lembah Klang.
“Ini merupakan komitmen Kerajaan dalam memastikan peningkatan kes negeri dengan kadar jangkitan tertinggi ini dapat ditangani dalam kadar segera,” katanya.
Beliau berkongsi keyakinan bahawa usaha mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini berada pada landasan tepat.
Ini berikutan kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan dengan semalam lebih 420,000 dos sehari berjaya diberikan.
“Kadar vaksinasi harian ini adalah antara yang tertinggi di dunia dan ini merupakan satu ‘milestone’ yang sangat baik buat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan usaha Kerajaan mencapai imuniti kelompok.
“Pencapaian ini adalah atas kerja keras semua pihak termasuk rakyat secara keseluruhan yang semakin cakna dengan kepentingan mengambil suntikan vaksin COVID-19,” jelasnya.
Muhyiddin hari ini turun meninjau Bahagian Kecemasan serta Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi melihat sendiri situasi di fasiliti kesihatan itu dilaporkan berdepan beberapa kesulitan seperti kekurangan katil di wad rawatan COVID-19.
Beliau dimaklumkan bahawa arahan penambahan segera ventilator bagi kegunaan HTAR telah diselesaikan dan dihantar ke hospital tersebut susulan peningkatan bilangan pesakit COVID-19 di Klang.
Pihak hospital juga memaklumkan kapasiti katil rawatan bagi wad COVID-19 Unit Rawatan Rapi (ICU) juga akan ditingkatkan dalam waktu terdekat selain inisiatif menjadikan asrama doktor pelatih serta Kompleks Rawatan Harian HTAR sebagai wad sementara bagi merawat pesakit tersebut.
“Saya turut mengambil peluang berbual bersama petugas barisan hadapan yang berkongsi kesulitan serta cabaran yang dilalui mereka sepanjang menjalankan amanah mendepani penularan pandemik ini.
“Saya secara peribadi menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada mereka, tidak terkecuali kepada semua barisan hadapan lain yang terus cekal memberikan perkhidmatan sejak pandemik ini melanda negara lebih setahun lalu. Terima kasih.
“Jasa, sumbangan dan pengorbanan anda tidak ternilai harganya. Saya mendoakan semua petugas barisan hadapan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam meneruskan amanah ini. Amin,” katanya.-SM