Dua bilik wad hospital terbakar, 30 pesakit dipindahkan
30 pesakit dan 22 kakitangan Hospital Pantai Klang berdepan dengan situasi cemas apabila dua bilik wad terbakar kira-kira pukul 11.38 malam semalam.
Difahamkan, kesemua pesakit berjaya dan kakitangan itu berjaya dipindahkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.38 malam.
Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba kira-kira pukul 11.42 malam.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati dua bilik wad di hospital yang berkeluasan 37.161 meter persegi (400 kaki persegi) terbakar bagaimanapun ia tidak membabitkan mangsa berikutan wad berkenaan kosong.
“Pasukan kemudian menggunakan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman.
“Turut dipasang adalah tangga sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, api berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi ditamatkan pukul 12.57 pagi.
Tambahnya, punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – SM