Double M: Muhyiddin dan Mahathir bergabung kuasa selamatkan orang Melayu
Orang Melayu dalam negara tidak perlu risau kerana setelah dipijak-pijak musuh liberal, wahabi, tentera New World Order, dua tokoh Melayu negara bakal bergabung dalam arena politik.
Tidak lain dan tidak bukan, mereka adalah sang penguasa politik, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang cukup digeruni musuh politik sejak zaman-berzaman.
Memahami rintihan orang Melayu yang hilang tanah rizabnya, dijual oleh mereka yang tahu tentang selok-belok pendokumentasian, mereka bergabung menjadi Double M.
Dengan kemunculan Double M dalam arena politik negara, orang-orang Melayu berharap kisah 1 juta keluarga Cina menerima tanah sebagai hadiah semasa zaman British didedahkan.
Hal ini demikian kerana perbuatan jahat British yang diselindung sejak berpuluh-puluh tahun itulah, orang-orang Melayu hari ini percaya mereka miskin, malas dan tidak berguna.
Sedangkan penyelewengan berlaku sejak zaman sebelum merdeka namun sehingga ke hari ini, bukan nasionalisme yang membugar segar, sebaliknya demokrasi membawa mati.
Anak-anak muda hilang arah.. mahu utamakan agama untuk akhirat atau utamakan dunia? Agar tidak lapar, boleh bayar hutang atau dapat perhatian netizen berterusan?
Jika utamakan agama untuk akhirat, selari dengan tujuan manusia diciptakan iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT, sistem dunia ciptaan manusia hari ini tidak merestuinya.
Manusia harus terus lalai, lupakan Allah SWT, pegang agama cuma pada nama, usah kenal bagaimana rasa rindu kepada Rasulullah SAW asalkan jalan dunia menjanjikan kebahagiaan.
Sejak berpuluh-puluh tahun juga, anak-anak Melayu semakin didoktrin dengan rasa cinta dunia sehingga takut untuk mati, kerana tahu diri tak sempat sediakan apa-apa pun untuk mati.
Maka tugasan Double M pada akhir zaman untuk bangsa Melayu ternyata bukan mudah kerana sudahlah jawi pun orang Melayu tak pandai membacanya, hafal dan faham al-Quran cuma tinggal berapa ketul sahaja.
Itu pun harapkan budak-budak tahfiz atau sekolah aliran agama, yang entah bila akan dicabut nyawanya, kerana dalam dada mereka ada iman dan agama.
Orang-orang Melayu tidak lagi perlu diselamatkan dari aspek politik, ekonomi serta keduniaan sebaliknya pengisian rohani untuk mengenal pencipta sebelum dajjal muncul harus jadi tunjang utama.
Lebih-lebih lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan terbuka bahawa beliau menyambut baik kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama demi perjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.
“Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.
“Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Tun Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya. – SM