Dojo Aikido Seremban menang Anugerah Muhibbah
Sebuah pusat latihan dojo Aikido di Seremban yang telah melatih ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama selama lebih 63 tahun, tanpa mengenakan sebarang yuran dan hanya token sumbangan, telah dianugerahkan Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK bagi bulan Disember.
Dikenali sebagai “The Shudokan”, ia merupakan dojo Aikido pertama di Malaysia dan di luar Jepun, di mana seni mempertahankan diri ini berasal.
Ditubuhkan pada tahun 1961 oleh mendiang Thamby Rajah Sensei, dojo ini menjadi pusat komuniti di mana generasi muda pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, dan Eurasia mempelajari seni Aikido, yang kini diiktiraf sebagai sukan kompetitif oleh Kementerian Belia dan Sukan.
The Shudokan berjaya mengharungi perubahan sosial, budaya, teknologi, serta pandemik, berkat sumbangannya dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Nilai-nilai Aikido yang menekankan penghormatan terhadap orang lain serta memupuk keharmonian sejajar dengan semangat Muhibbah, berjaya menambat hati panel juri.
Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) bersama penyedia platform penyelesaian perusahaan MACROKIOSK melancarkan Anugerah Muhibbah pada tahun lalu untuk mengiktiraf individu, kumpulan, atau organisasi yang mempamerkan semangat Muhibbah sejati.
Siri pertama anugerah telah menyaksikan enam pemenang, manakala empat pemegang dipilih dalam siri tahun ini, di mana anugerah Disember menjadi penutup siri tersebut.