Dituduh sebagai pembunuh, ini jawapan KJ
Khairy Jamaluddin hari ini menjawab kritikan terhadapnya termasuk tuduhan sebagai pembunuh.
Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengendali program vaksinasi Covid-19 beliau berkongsi beberapa siri catatan Instagram Stories miliknya.
Khairy dituduh sebagai pembunuh apabila mencadangkan kacukan suntikan vaksin dan Khairy hari ini berkongsi laporan agensi berita AFP mengenai saranan Canselor Jerman Angela Merkel yang menerima suntikan vaksin Moderna setelah menerima dos pertama AztraZeneca.
Pada 17 Jun, Khairy mengatakan kerajaan sedang mengkaji kemungkinan kaedah “mix-and-match” untuk meningkatkan keberkesanan vaksin.
Khairy dalam posting Instagram Story menyorot bahawa antara kritikan yang diterimanya adalah digelar sebagai “pembunuh”.
Mengenai kritikan yang mendakwa dia sengaja membuat alasan dengan menyalahkan pengedaran vaksin secara tidak adil di seluruh dunia, menteri itu berkongsi laporan berita yang memetik Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Ghebreyesus dipetik oleh Reuters pada 24 Mei mengatakan bahawa 75 peratus vaksin Covid-19 diberikan oleh hanya 10 negara.
Walaupun Khairy berulang kali mengatakan secara terbuka bahawa Malaysia tidak memiliki daya beli yang dimiliki beberapa negara, dia semalam menuduh Eropah membolot vaksin.
Susulan itu, duta Kesatuan Eropah, Michalis Rokas menafikan tuduhan itu dan berkata bahawa 5 juta vaksin dari Eropah telah sampai ke Malaysia.
Namun, salah seorang penasihat Khairy telah menjelaskan vaksin tersebut kebanyakan telah diberikan kepada penerima.
Mengenai dakwaan bahawa pusat vaksinasi “besar-besaran” sebagai membazir, Khairy berkongsi laporan berita BBC yang menggambarkan perkara sama juga dilakukan di UK.
Mengenai kritikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa Putrajaya tidak menumpukan kepada istilah “imuniti kelompok”, Khairy berkongsi artikel berita yang menyebut penasihat perubatan kepada presiden AS, Dr Antony Fauci menyebut “imuniti kelompok” sebagai “elusif” dan “mistikal”.
Fauci berulang kali menyatakan bahawa “imuniti kelompok” terhadap Covid-19 adalah “konsep yang sukar difahami” kerana tidak ada peratusan pasti penduduk yang perlu diberi vaksin untuk mencapainya.
Sebaliknya, strategi untuk AS, kata Fauci adalah untuk memberi tumpuan kepada vaksinasi sebanyak mungkin orang, bukannya fokus pada ambang dan peratusan tertentu.
Pada 21 Jun, 18.73 peratus daripada 23.41 juta orang dewasa di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Putrajaya berhasrat untuk memvaksinasi 80 peratus penduduk pada akhir tahun.