Diana dan Farid masih suami isteri, akan cerai pada 2 Disember nanti
MAHKAMAH Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu mengesahkan bahawa aktres Diana Danielle dan suaminya, pelakon Farid Kamil, telah kembali rujuk sebagai suami isteri.
Menurut media Oh Bulan, peguam Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir, memaklumkan bahawa keputusan itu dicapai selepas mahkamah mendengar dan berpuas hati dengan permohonan rujuk yang dikemukakan. Malah, Farid sebagai pihak defendan tidak membantah semasa prosiding tersebut.
“Mahkamah telah memberi perintah bahawa kedua-dua pihak kini kembali sebagai suami isteri. Sijil rujuk dan beberapa dokumen lain akan dibawa pada prosiding perceraian yang dijadualkan pada 2 Disember nanti,” ujar Akberdin.
Beliau turut menjelaskan bahawa sijil rujuk tersebut adalah bukti sah mereka telah kembali sebagai suami isteri, dan dokumen itu akan disediakan dengan segera bagi tujuan permohonan cerai yang telah difailkan oleh Diana.
Sementara itu, peguam mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan, turut mengesahkan perkara yang sama.
Pada 28 Oktober lalu, Diana mengejutkan ramai apabila menyatakan hasrat untuk berpisah buat kali kedua, malah menegaskan tidak mahu lagi dipujuk atau percaya pada janji Farid. Sebelum ini, Farid dalam satu sidang media menyatakan azam untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.
Pasangan ini pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos 2023 menerusi sidang Google Meet selepas Diana memfailkan permohonan cerai pada Mac tahun yang sama. Namun, mereka kembali rujuk selepas tempoh 21 hari.
Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Prosiding perceraian seterusnya akan berlangsung pada 2 Disember, dan isu rujuk kini tidak lagi menjadi persoalan kerana status mereka telah disahkan sebagai suami isteri oleh mahkamah.