BeritaNasional

Dapur Kausar beri makanan percuma kepada gelandangan, asnaf

SEREMBAN, 20 Jan — Setiap hari kecuali Ahad, premis bangunan dikenali sebagai Dapur Kausar yang terletak di Jalan Kapitan Tam Yeong di sini, akan dikunjungi gelandangan, golongan asnaf dan anak yatim untuk singgah makan secara percuma.

Dapur Kausar yang merupakan sebuah pusat gelandangan dimiliki Pertubuhan Penyayang Negeri Sembilan itu telah beroperasi sejak 6 Jan lepas.

Pengerusi Pertubuhan Penyayang Negeri Sembilan Fauziah Raduan berkata premis ini dibuka bagi memberi makanan percuma kepada golongan tidak berkemampuan seperti gelandangan, golongan asnaf, anak yatim dan juga orang kelainan upaya (OKU).

“Saya simpati melihat nasib golongan ini sehingga terpanggil untuk membuka pusat ini dengan cara menyediakan makanan secara percuma kepada mereka yang dimasak sendiri oleh ahli-ahli persatuan.

“Kita tidak menyediakan tempat tinggal kepada mereka tetapi kita menyediakan makanan secara percuma, sediakan bilik mandi serta menyediakan kemudahan ´laundry´ di mana mereka boleh basuh dan cuci baju mereka sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Tambahnya, selain memberi makanan percuma, beliau akan memberi nasihat dan mengajar setiap gelandangan yang datang ke pusat khas ini untuk menjaga kebersihan diri.

“Ada gelandangan yang tidak terurus jadi saya akan menasihati dan mengajar mereka untuk menjaga kebersihan dan lama-kelamaan mereka mula menjaga kebersihan diri,” katanya.

Fauziah yang juga merupakan penyelia di Rumah Anak Yatim Kausar Taman Marida berkata Dapur Kausar yang beroperasi bermula pukul 10 pagi sehingga 9 malam itu menggunakan dana sendiri bersama bendahari persatuan berkenaan iaitu Azlinna Ali selain sumbangan daripada orang awam.

“Dari segi modal untuk memberi makan kepada golongan memerlukan ini memang sepenuhnya dana sendiri. Ada juga orang awam yang memberi sumbangan berbentuk barangan dan wang ke pusat ini.

“Kita tidak mengaut sebarang keuntungan tetapi ikhlas menolong mereka dan rasa puas hati serta gembira apabila melihat golongan ini dapat dibantu untuk menjadi lebih baik dan tidak diabaikan,” katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi pihaknya di laman media sosial Facebook iaitu ´Pertubuhan Penyayang N9´.

“Kita berharap akan lebih ramai orang awam turut membantu memberi sumbangan. Sebenarnya sumbangan bukan sekadar wang ringgit tetapi boleh diberi dalam bentuk tenaga.

“Sebagai contoh mereka yang berminat boleh sertai menjadi sukarelawan di sini. Namun apa paling penting adalah sokongan moral dari orang ramai untuk kita tetap terus memberi khidmat bakti kepada golongan memerlukan ini,” katanya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button