DAP mahu buat terbaik untuk rakyat Malaysia, kata Kit Siang
ANGGOTA parti DAP mahu membuat yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang warna kulit, kepercayaan atau negeri.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kesemua anggota DAP baik lelaki mahupun wanita aktif dalam bidang politik kerana percaya ia satu-satunya jalan untuk menjadikan Malaysia menjadi mulia.
”Kita berada dalam politik kerana kita percaya bahawa politik adalah jalan yang jujur, mulia dan suci untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu-cucu kita
“Bahawa yang kotor adalah ahli politik dan bukannya politik, dan kami berpegang kepada kepercayaan ini,” kata Kit Siang di laman sosialnya.
Komen itu hadir di tengah-tengah spekulasi kononya kerajaan Pakatan Harapan bakal tumbang berikutan beberapa parti dan pemimpinnya kini sedang membentuk kerjasama dengan parti pembangkang.
Pagi tadi media melaporkan Kit Siang berkata, semua pemimpin parti itu tidak akan melarikan diri keluar negara.
Malah menurut beliau, pemimpin Pakatan Harapan akan terus berada dalam negara berjuang menyelamatkan Malaysia.
“Kita mahu Malaysia menjadi negara yang lebih baik dan bukannya ditadbir oleh penjenayah dan penyangak serta menjadi kakistokrasi,” katanya.
“Saya terbaca satu kenyataan dalam media sosial yang tidak bertanggungjawab, meminta semua pemimpin DAP, PKR dan Amanah untuk lari dan meninggalkan negara ini.
“Kita adalah pejuang negara. Misi kita adalah untuk memastikan Malaysia tidak menjadi kleptokrasi global,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, hari ini.
Kit Siang juga dilaporkan menyertai mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Pudu, kira-kira jam 11 pagi ini.
Beberapa pemimpin utama parti itu seperti Ketua Wanita DAP, Chong Eng; Adun Teratai, Lai Wai Chong; dan Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee turut dilihat hadir.
Semalam pemimpin Bersatu, UMNO, Pas, parti dari Sabah dan Sarawak serta sebilangan besar pemimpin PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masing-masing melakukan mesyuarat tergempar di lokasi berbeza.
Selepas selesai mereka kemudiannya bertemu di sebuah hotel pada sebelah malam sekaligus mencetuskan spekulasi berhubung kemungkinan pengaturan semula politik dan pembentukan kerajaan baru.
Pagi ini Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan pergi ke Pejabat Perdana Menteri untuk bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohaman.
Bagaimanapun usaha mereka mahu menemui perdana menteri di pejabatnya gagal kerana beliau tidak ada di situ.-SM