Nasional

Dakwaan ikan diberi makan pelet plastik tidak benar

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberikan penjelasan berhubung isu penggunaan palet plastik dijadikan sebagai makanan ikan yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penternak akuakultur.

Baru-baru ini, sebuah kilang kitar semula di Kuala Muda telah diserbu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kilang ini didapati memproses bahan kitar semula menjadi palet plastik dan membungkusnya menggunakan beg plastik kitar semula.

Beg pembungkusan yang digunakan adalah beg makanan ikan, yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penternak bahawa palet plastik tersebut adalah makanan ikan.

Jabatan Perikanan Malaysia ingin menegaskan bahawa kilang kitar semula tersebut tidak mempunyai kaitan dengan PSJ Feed Sdn Bhd, sebuah kilang makanan ikan yang sah dan beroperasi di Pulau Pinang sejak tahun 2022. PSJ Feed Sdn Bhd dalam proses mendapatkan pensijilan FQC (Fish Quality Certification) yang menunjukkan komitmen mereka terhadap kualiti dan keselamatan produk.

Siasatan akan dibuat oleh DOF dengan pengambilan sampel makanan di kilang PSJ Feed Sdn Bhd bagi pengesahan komposisi makanan. Keputusan analisa sampel makanan ikan akan dikeluarkan dalam
tempoh 14 hari bekerja.

DOF ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua makanan ikan yang dihasilkan oleh kilang yang berdaftar dan mematuhi piawaian Jabatan Perikanan Malaysia adalah selamat untuk digunakan.

Jabatan ini sentiasa menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kilang-kilang makanan ikan bagi memastikan mereka mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan Akta Makanan Haiwan 2009.

Sebagai langkah tambahan, Jabatan Perikanan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan agensi berkaitan untuk meningkatkan pengawasan terhadap operasi kilang pembuatan
makanan haiwan bagi memastikan tiada bahan berbahaya digunakan dalam penghasilan makanan ikan.

DOF juga menyeru penternak akuakultur untuk lebih berhati-hati dan memastikan bahawa produk makanan ikan yang dibeli adalah daripada sumber yang sah dan mempunyai pensijilan yang diiktiraf. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button