Politik

Covid: Hadi ingatkan agamawan jangan timbulkan keraguan masyarakat

PARA ulama khususnya para mufti perlu berijtihad secara berjamaah dan jangan memberikan pendapat secara berseorangan kerana pada masa ini tidak sesuai untuk menonjolkan diri masing-masing.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi berkata, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk berkempen politik bagi memperkecilkan Perdana Menteri mahupun para menteri yang menjalankan tugas ketika tempoh darurat.

“Bahkan pada masa inilah, undang-undang darurat yang tegas demi menjaga nyawa manusia mesti dikenakan terhadap mereka yang tidak menghormati kepentingan masyarakat umum, khususnya pengamal media yang menyalahgunakan kebebasan media dalam suasana seperti hari ini.

“Termasuklah agamawan yang menyanggah pelaksanaan perintah kuarantin, SOP dan pengambilan vaksin sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam,” katanya.

Abdul Hadi turut meminta supaya jangan mudah berkata-kata tanpa mempunyai ilmu khususnya dalam perkara agama lebih-lebih lagi ketika keadaan darurat.

Tindakan itu katanya boleh merosakkan imej agama dan membawa kemudaratan terhadap masyarakat umum khususnya bagi petugas menunaikan kewajipan dalam memelihara nyawa.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu juga berkata, ketika ini bukan masanya untuk mencari kesalahan dan kelematan pihak tertentu.

“Saya membaca berita yang dilaporkan di media perdana dan sebahagiannya di media sosial, bahkan saya juga membaca apa yang tersurat dan tersirat di sebalik laporan berita tersebut.

“Kini, bukan masanya untuk kita berdebat mencari kesalahan dan kelemahan kerana bentuk serangan wabak yang sedang dihadapi hari ini sudah berubah.

“Sepatutnya semua pihak berperanan menyedarkan masyarakat seperti perlunya suntikan vaksin kerana Islam meletakkan turutan menjaga nyawa adalah wajib diutamakan sehingga dihalalkan perkara yang haram dalam ayat-ayat al-Quran,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi turut berharap agar tanggungjawab petugas barisan hadapan tidak diganggu kerana ia boleh mendatangkan dosa.

“Abu ‘Ubaidah RA dan para sahabat yang terkenal meninggal dunia ketika berlakunya wabak taun amwas pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA, maka para ulama’ menegaskan bahawa mereka adalah para syuhada’.

“Para ulama’ juga menamakan mereka sebagai golongan para syuhada’ alam akhirat, dan mereka diamankan daripada sebarang fitnah kubur, dengan makna tidak akan disoal oleh malaikat Munkar dan Nakir. Pada masa yang sama, jenazah mereka yang beroleh ganjaran syahid akhirat diuruskan di alam dunia seperti biasa.

“Hal ini menunjukkan bahawa mereka yang berada di barisan hadapan menjalankan tugas jihad fardhu ‘ain, bukan lagi fardhu kifayah. Maka, jangan diganggu tugasan mereka nanti berdosa besar, melainkan mereka yang tidak percaya kepada Hari Akhirat, dosa dan pahala,” katanya.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button