Luar Negara

COVID-19: Thailand mungkin buka pintu sempadan

Ahli perniagaan, pelancong berisiko rendah dibenarkan masuk

THAILAND sedang merangka garis panduan bagi membuka semula pintu sempadan negara itu untuk ahli perniagaan dan pelawat dari negara berisiko rendah.

Perancangan itu diambilkira berdasarkan semasa keadaan COVID-19 di dalam negara itu semakin bertambah baik selepas tiada jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 16 hari.


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Tanarak Pipat berkata, Kementerian Kesihatan Awam dan Kementerian Pelancongan Thailand sedang berbincang bagi merangka satu set garis panduan menghalang gelombang kedua jangkitan COVID-19 apabila pintu sempadan dibuka semula nanti.

“Kami sedang menyediakan dokumennya. Sebaik sahaja ia disiapkan, kami akan menghantarnya ke Pusat Pentadbiran Keadaan COVID-19 (CSSA),” katanya kepada BERNAMA.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada tarikh tertentu ditetapkan untuk membuka semula sempadan negara.

Tanarak berkata, agensi-agensi serta pihak berkuasa yang berkaitan sedang bekerja keras untuk membolahkan pelawat dari kalangan ahli perniagaan memasuki Thailand terlebih dahulu, diikuti dengan pelawat dari negara yang berisiko rendah.

“Ketika ini kami menerima permohonan daripada syarikat-syarikat antarabangsa untuk membenarkan pekerja mereka, masuk bekerja.

“Kita akan buka sempadan untuk pelawat daripada kalangan ahli perniagaan. Ia pendekatan berisiko rendah.

“Mereka yang akan tinggal di Thailand untuk tempoh agak lama, akan menjalani tempoh kuarantin 14 hari dan kos akan ditanggung oleh syarikat masing-masing,” ujarnya.

Bagi para pelancong, Tanarak menambah, Thailand akan membuka sempadannya kepada pelancong secara berperingkat-peringkat bagi menghalang gelombang kedua jangkitan COVID-19.

Bagi kunjungan pelancong pula, ia akan bermula dengan pelancong dari negara berisiko rendah dan penilaian akan dibuat dari semasa ke semasa sebelum pintu sempadan negara “dibuka dengan lebih luas”.

Beliau seterusnya mengulangi bahawa proses saringan pelancong yang tiba akan terus ditingkatkan.

Sehingga kini sempadan Thailand kekal ditutup sehingga 30 Jun. Bermula 26 Mac lalu, semua warga asing dilarang memasuki Thailand kecuali para diplomat dan warga asing yang memiliki permit kerja.

Pada 3 April, Thailand menyekat penerbangan komersial antarabangsa dan tempoh sekatan telah dilanjutkan sehingga 30 Jun, bagaimanapun warga Thailand, para diplomat dan warga asing dengan permit kerja dibenarkan memasuki Thailand, dan mereka diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari sebaik tiba.

Selepas penutupan beberapa bulan, media tempatan melaporkan bahawa Thailand berharap agar dapat membuka pintu sempadannya kepada pelancong dari negara berisiko rendah, termasuk dari China dan Korea Selatan, pada suku ketiga dan terakhir tahun ini.

Sementara itu Thailand melaporkan empat kes COVID-19 baharu dan tiada kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhannya kini menjangkau 3,125 kes dengan 58 kematian.

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata, empat kes baharu itu melibatkan warga Thailand berumur 34 hingga 44 tahun; yang baru kembali dari India (dua), dan masing-masing satu dari Madagascar dan Pakistan.

Daripada 3,125 kes COVID-19 itu, 2, 981 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar wad. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button