Covid-19 terlalu jauh untuk berakhir, kematian setengah juta orang – WHO
PANDEMIK Covid-19 masih terlalu jauh untuk dikatakan sudah berakhir.
Pertubuhan Kesihatan Seduni (WHO) memberi amaran wabak maut itu masih merupakan satu ancaman global apabila kematian akibat virus itu kini telah mencecah setengah juta orang.
“Kita semua mahu ini berakhir. Kita semua ingin meneruskan hidup kita. Tetapi kenyataannya ialah terlalu jauh untuk kita katakan ianya hampir berakhir,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini.
Covid-19 masih mengganas di seluruh dunia dengan 10,395,601 jangkitan dan 507,411 kematian.
Amerika Syarikat negara tertinggi jangkitan dengan 2,678,395 jangkitan termasuk 41,318 kes baharu dalam tempoh 24 jam. Negara itu turut mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 128,762 orang.
Negara kedua yang paling teruk dilanda adalah Brazil yang mencatatkan 1,368,195 kes dengan pertambahan 22,941 kes baharu. Seramai 58,314 orang meninggal dunia di negara itu akibat Covid-19.-SM