Covid-19: Sasha Saidin pilih vaksin Sinopharm, bukan Pfizer
PELAKON dan penyanyi, Sasha Saidin memberitahu yang dia telah mengambil vaksin Covid-19 jenis Sinopharm di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut bekas anggota kumpulan Elite itu, dia mengambil keputusan untuk mengambil vaksin tersebut selepas melakukan perbandingan dengan satu lagi vaksin iaitu Pfizer.
“Kami akhirnya memutuskan untuk terus mengambil Sinopharm yang mempunyai keberkesanan sebanyak 86% selepas mendengar khabar berkenaan mutasi terbaharu Covid-19.
“Malah, sebelum mengambil vaksin, kami juga diberitahu oleh pihak kesihatan di pusat vaksinasi bahawa Sinopharm di UAE memang telah selesai peringkat percubaan yang bermula pada Ogos lalu dan mencapai tahap yang memuaskan,” katanya.
Sasha mengambil suntikan itu bersama dengan suaminya, Sirhan Wahab.
Dalam pada itu, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu turut memberitahu yang dia dan suaminya telah ditanya beberapa soalan mengenai alahan sebelum mengambil suntikan tersebut.
“Saya nasihatkan kepada semua supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengambil vaksin.
“Orang ramai juga peru mengikuti perkembangan terkini berkenaan apa sahaja berita berkaitan Covid-19 termasuk vaksin setiap hari,” katanya.
Mengulas mengenai suntikan vaksin itu pula, Sasha memberitahu yang dia merakamkan penghargaan terhadap kerajaan UAE kerana memberi vaksin tersebut secara percuma tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa.
Tambahnya, dia kini perlu menunggu selama 21 hari lagi sebelum diberi suntikan dos ke dua.
Untuk rekod, Malaysia kita telah memilih Pfizer sebagai vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada rakyat. -SM