Luar Negara

COVID-19: Rakyat bimbang kerajaan Perancis longgarkan sekatan pergerakan

BERMULA pada 11 Mei ini nanti, kerajaan Perancis berura-ura untuk melonggarkan sekatan pergerakan bagi rakyat di negaranya.

Berdasarkan tinjauan yang diadakan, rata-rata, bolehlah dikatakan, ura-ura itu menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara itu.

Memetik laporan BERNAMA hari ini, perancangan melonggarkan sekatan pergerakan adalah susulan situasi wabak COVID-19 yang menunjukkan perkembangan baik selepas lima minggu sekatan pergerakan dilaksanakan.

Sementara itu, agensi berita Xinhua pula melaporkan semalam, sebanyak 29,741 orang didapati positif COVID-19 dirawat di hospital.

Terdapat penurunan sebanyak 365 orang dalam tempoh 24 jam lalu manakala bilangan pesakit di unit rawatan rapi menurun dalam tempoh 14 hari berturut-turut.

Tinjauan yang dibuat oleh Elabe mendapati, 66 peratus daripada 1,000 responden bimbang dengan hasrat kerajaan untuk melonggarkan sekatan pergerakan.

Mengenai rancangan membuka semula sekolah, 63 peratus responden berpendapat, kerajaan belum bersiap sedia sepenuhnya dengan langkah-langkah pencegahan.

Dalam satu lagi tinjauan lain oleh Harris Interactive, sejumlah besar responden mahu bekerja dari rumah terus dilaksanakan walaupun selepas sekatan pergerakan berakhir.

Sementara 60 peratus yang disoal selidik mengatakan langkah membuka semula sekolah bukan satu keputusan yang baik.

Kerajaan Perancis sedang dalam proses untuk melonggarkan sekatan pergerakan secara beransur-ansur untuk mengembalikan semula rutin kehidupan seperti biasa.

“Kami sedang siapkan tahap kedua, kami tidak tahu berapa lama masa akan diambil,” kata Presiden Emmanuel Macron.

“Kita tidak mahu kembali ke asal…Jadi kita tidak boleh meletakkan  persoalan usaha ini dengan terlalu tergesa-gesa atau berkata ‘semuanya sudah berlalu,” tambah beliau.

Di bawah perancangan kerajaan, kafe, restoran, kedai, pawagam dan teater masih ditutup sementara festival ditunda sehingga pertengahan Julai.

Sementara itu, sekolah akan dibuka semula dalam beberapa fasa dengan jumlah kelas yang jauh lebih kecil. Namun persoalan mengenai peralatan perlindungan dan protokol kebersihan yang akan dilaksanakan masih tidak  terjawab, mencetuskan kebimbangan dan kritikan banyak pihak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button