Nasional

Ribut di Bagan Serai, Parit Buntar: 105 keluarga terjejas

SERAMAI 105 keluarga terjejas selepas bumbung rumah mereka rosak teruk dalam kejadian ribut melibatkan 54 rumah di sekitar Parit Buntar dan Bagan Serai, semalam.

BERNAMA melaporkan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Lt (PA) Noor Hafizah @ Noor Ulin Ismail berkata, bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka dalam kejadian ribut yang berlaku antara jam 3.30 hingga 4.30 petang itu.

Antara kampung yang terjejas di Parlimen Bagan Serai ialah Kampung Parit Abu Hassan, Kampung Matang Jelutong, Kampung Matang Merbau, Kampung Parit Ismail 1, 2 dan 3 dan Kampung Parit Mentara 1 dan 2.

Kampung Alor Kubu, Kampung Parit Haji Ali, Kampung Sungai Pinang, Kampung Parit 4 dan 3,  Kampung Sungai Protan, Kampung Teluk Medan, Kampung Parit Gabis, Kampung Parit Haji Aman dan Kampung Masjid Tinggi turut terjejas sama.

“Di Parlimen Parit Buntar pula membabitkan Kampung Tanah Kebun, Parit Tok Ngah, Kampung Parit Mat Alam. Kejadian ribut turut mengakibatkan beberapa bumbung masjid rosak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kerian, Mohd. Sabli Bakri, ketika dihubungi berkata, Tabung Bencana Daerah akan memberikan bantuan segera kepada mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan Ramadan.

“Jumlah bantuan mengikut kerosakan rumah yang dialami mangsa. Kebanyakan rumah rosak di bahagian bumbung akibat diterbangkan angin dan tiada mangsa yang cedera,” katanya. – BERNAMA – SM

(Visited 314 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button