Covid-19: Presiden Persekutuan Bola Sepak Bolivia meninggal dunia
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Bolivia (FBF) Cesar Salinas meninggal dunia pada usia 58 tahun, lapor agensi berita Sputnik, memetik presiden Gabungan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) Alejandro Dominguez pada Isnin.
“Saya amat sedih apabila dimaklumkan mengenai kematian rakan saya Cesar Salinas, presiden Persekutuan Bolasepak Bolivia. Cesar amat berdedikasi dengan minatnya dalam sukan, dan dia meninggalkan legasi untuk pembangunan bola sepak Bolivia serta Amerika Selatan,” kata Dominguez di Twitter.
Meskipun, presiden CONMEBOL itu tidak menyatakan punca kematian, media tempatan pada minggu lalu melaporkan Salinas dimasukkan ke hospital akibat COVID-19.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Amerika Selatan muncul antara pusat penularan utama wabak COVID-19 di dunia. Amerika Syarikat mempunyai jumlah kes disahkan paling tinggi di dunia, lebih tujuh juta kes, menurut laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Sehingga Isnin, Bolivia melaporkan 59,582 kes termasuk 2,151 kematian dan 18,553 pesakit pulih. – BERNAMA