COVID-19: Pejabat Suhakam ditutup, pegawai disahkan positif
ORANG ramai yang mempunyai urusan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dinasihatkan supaya menjauhi ibu pejabatnya sehingga 13 Mac ini kerana seorang pegawainya disahkan positif COVID-19.
Pegawai Suhakam berkenaan disahkan positif COVID-19 sejak semalam.
Susulan daripada itu, langkah drastik perlu diambil dengan menutup ibu pejabat Suhakam di Menara TH Perdana, Kuala Lumpur dari 11sehingga 13 Mac ini.
Langkah itu merupakan langkah kawalan penyebaran virus yang memberi kesan secara langsung terutamanya dalam kalangan kakitangan yang bekerja di dalam bangunan Suhakam itu.
“Suhakam telah dimakluman hari ini bahawa salah seorang ahli Suruhanjayanya didapati positif dijangkiti COVID-19.
“Tidak dapat dipastikan sama ada individu berkenaan telah dijangkiti pada awal bulan Mac ini.
“Bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, Suhakam telah mengenalpasti individu-individu yang mempunyai kontak atau hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti virus itu dan mereka dikehendaki menjalani ujian sewajarnya,” kata Suhakam dalam satu kenyataannya semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, Suhakam turut bekerjasama rapat dengan pengurusan bangunan TH Perdana dan Kementerian Kesihatan untuk proses disinfeksi premis.
Pekerja Suhakam diminta bekerja dari rumah dan semua aktiviti serta program akan ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
“Suruhanjaya menasihatkan agar orang ramai yang telah melawat atau berinteraksi dengan pegawai kami sejak 2 Mac lalu, menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah.
“Walaupun kemungkinan terdedah kepada virus ini adalah kecil namun lebih baik diambil langkah berjaga-jaga lebih awal dan sekiranya anda mengalami simptom atau berasa kurang sihat disyorkan agar menjalani pemeriksaan,” katanya.
Pihak Suhakam turut menzahirkan rasa kesal dengan segala kesulitan yang berlaku.
“Segala kesulitan yang berlaku dalam menangani perkara ini amat dikesali,” katanya.
Suhakam memberitahu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan perkara tersebut dari semasa ke semasa melalui laman web dan media sosial rasminya. – SM