Nasional

Anggota Kabinet mesti bebas daripada akidah batil

OLEH NUR FAIZAL KASRI

MASIH belum terlambat lagi kiranya untuk saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Tahniah juga diucapkan kepada seluruh barisan menteri kabinet baharu yang dilantik dan mengangkat sumpah, semoga diberikan kecerdikan dan ilham mengelolakan kementerian masing-masing.

Dari kaca mata rakyat, seorang ahli parlimen itu mestilah bersih daripada amalan rasuah dan berintegriti sebelum dilantik menjadi menteri, ini amat penting kerana ia mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Selain kriteria yang dinyatakan, akidah menteri yang beragama Islam juga penting untuk dipertimbangkan, ini kerana, Malaysia merupakan negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Negara.

Apabila sebut sahaja agama Islam secara automatiknya akidah yang umum dianuti oleh umat Islam Malaysia adalah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan ini sepakat dengan majoriti Majlis Agama Islam Negeri-negeri antaranya Johor, Selangor, Perak, Terengganu dan lain-lain.

Sehubungan itu, posisi menteri-menteri yang beragama Islam terutama menteri agama dan timbalanya harus dipilih daripada kalangan individu yang suci daripada sebarang akidah batil seperti Wahabi, Syiah, Liberal, dan lain-lain.

Bukan itu sahaja, malah mereka mesti bersih daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi yang mengelirukan umat Islam dan ini amat penting bagi memastikan keharmonian di kalangan umat Islam.

Menurut sejarah, Almarhum Haji Abu Bakar Hasan Al Muari yang merupakan guru agama kepada ayahanda YAB PM dikenali sebagai benteng Ahlus Sunnah Wal Jamaah di Selatan kerana ketokohan beliau yang serius melawan virus Wahabi (Kaum Muda) ketika itu.

Selain itu, bekas Mufti Johor, Almarhum Dato’ Sayyid Alawi Tahir Al Haddad merupakan antara ulama Negeri Johor yang bermatian-matian dan bersungguh-sungguh melawan firkah yang sama sehingga mengharamkan kemasukan Hamka ke negeri itu.

Atas sebab itu, jawatan menteri agama dan timbalanya seharusnya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak seperti kedua-dua tokoh agama yang disebutkan kerana teguh menegakkan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan kuat menentang akidah batil.

Justeru, penulis berharap Perdana Menteri telah membuat keputusan yang betul dalam pelantikan menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam ini.

Malaysia mempunyai ramai penegak akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti Syaikh Fuad Kamaluddin Al Maliki, Dr. Aiman Al Akiti, dan Ustaz Engku Fadzil.

Sudah cukup rasanya rakyat diheret dalam kemelut politik dan janganlah mereka diheret dalam konflik fikrah agama pula.

Nur Faizal Kasri merupakan pemerhati politik. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Suara Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada 12 Mac 2020

(Visited 436 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button