Nasional

Covid-19: MKN digesa mantapkan komunikasi sebelum keadaan jadi lebih buruk

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) digesa memantapkan koordinasi dan komunikasi dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan sebelum suasana menjadi lebih buruk dan rakyat menjadi mangsa keadaan.

Ini susulah suasana yang berlaku semalam apabila kawasan umum seperti perhentian bas dan balai polis apabila pihak universiti mengumumkan penutupan kampus dan dalam masa yang sama polis mengeluarkan arahan mereka yang mahu pulang ke kampung perlu mengisi borang.

Sedangkan tindakan berkumpul seperti itu memudahkan penyebaran virus Covid-19 yang ketika ini telah meragut dua nyawa di Malaysia dah lebih 6,000 di seluruh dunia.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam menghadapi sesuatu krisis dua asas utama yang wajib berfungsi dengan berkesan ialah komunikasi dan koordinasi.

Jelas belliau apabila salah satu tidak berfungsi dengan baik akan mencetuskan suasana huru-hara bahkan sebaliknya mendatangkan kemudaratan yang bakal melanda hingga menyusahkan rakyat.

“Contoh terbaik berlaku dalam krisis Coronavirus kini.  Apabila diumumkan penutupan kampus-kampus univesiti, berkejar pelajar-pelajar universiti membeli tiket bas. Tiba-tiba polis pula mengumumkan keperluan untuk dapatkan permit pergerakan luar sempadan.

“Kementerian Kesihatan pula tidak galakkan keluar kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Akhirnya balai polis menjadi kawasan berisiko tinggi terdedah kepada Coronavirus lantaran kebanjiran orang ramai nak dapatkan permit,” kata Asyraf Wajdi.

Sementara itu Asyraf Wajdi turut meminta agar kafe, kantin dewan di kampus-kampus tidak ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menampung pelajar yang tidak dapat pulang.

Semalam beribu-ribu pelajar dilaporkan berada di Terminal Bersepadu Selatan untuk membeli tiket untuk pulang ke kampung selepas pihak universiti menutup kampus bagi mengekang penularan virus Covid-19.

Manakala balai-balai polis di seluruh negara menjadi tumpuan apabila berpuluh-puluh orang awam terpaksa berbaris panjang untuk mengisi borang untuk bergerak merentasi sempadan negeri selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengarahkan mereka berbuat demikian sebelum arahan berkenaan ditarik balik.

Dalam tempoh yang sama pasar raya-pasar raya turut menjadi tempat orang awam berkumpul beramai-ramai untuk membeli barangan untuk disimpan di dalam rumah bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Keadaan orang awam berkumpul di satu tempat secara beramai-ramai  dikhuatiri menyebabkan penularan virus Covid-19 semakin bertambah.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button