Covid-19: Mahasiswa akan dibenarkan pulang ke rumah tak lama lagi
MAHASISWA di kampus berjumlah 100,000 yang terperangkap di kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akan dibenarkan pulang tidak lama lagi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses untuk membawa pelajar-pelajar ini pulang sedang dirancang oleh kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan.
“Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir 100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ianya teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan.
“Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COVID 19,” kata Muhyiddin dalam Pengumuman Khas sebentar tadi.
Menurutnya, butiran terperinci mengenai pergerakan pulang ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
- Hantar pulang mahasiswa secara berperingkat
- Noraini mahu mahasiswa dibawa pulang
- Mahasiswa rayu dihantar pulang
Kerajaan juga akan membenarkan mereka yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing.
Menurut MuhyiddIIn, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan kebenaran kepada para mahasiswa satu kali perjalanan bagi tujuan ini.
“Kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama.
“Pergerakan ini tentunya akan melibatkan jumlah yang besar. Oleh itu, kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah yang terbaik untuk mengatur pergerakan saudara-saudari,” kata Muhyiddin.
Menurutnya, mahasiswa yang terlibat boleh mendaftar secara online di aplikasi yang disediakan oleh PDRM,
atau membuat temujanji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.
Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang mahasiswa yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.
Menterinya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, beliau mahu mahasiswa terbabit pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan selamat.
“Susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri mengenai tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan, saya bersama Kementerian meneruskan perbincangan dan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing,” kata Norani. -SM