Belang Bertempat

Covid-19: Ekonomi membimbangkan, kekang atau terkangkang

UNTUK menangani penularan wabak Covid-19, selain vaksin adalah hanya dengan perintah berkurung. Semua perlu duduk di dalam rumah. Tutup semua laluan keluar masuk. Itu terbukti berkesan ketika kita laksanakannya semasa awal penularan wabak.

Ketika itu jumlah kes menghampiri sifar. Tetapi ekonomi akan terus terhenti dan keluknya juga landai sebagaimana landai keluk penularan.

Selepas dua atau tiga bulan kita reset balik ekonomi negara yang berkembang kembali.

Masalah sekarang sejak letusan gelombang ketiga pandemik akibat daripada pilihan raya negeri Sabah, berpunca daripada ketamakan kuasa oleh Datuk Seri Shafie Apdal yang membubarkan dewan undangan negeri, kerajaan tidak lagi berani untuk melaksanakan perintah berkurung.

Sudah tentu kerana bimbang ekonomi negara yang terus statik dan jika berlarutan akan menyebabkan negara jatuh ke dalam krisis yang buruk.

Bagaimanapun apabila diberi kelonggaran dan orang ramai boleh bergerak ke sana dan ke sini, kes pula meningkat ke angka lebih 3,000 kes sehari dan ini sangat menakutkan.

Dengan bencana banjir di sebahagian Semenanjung Malaysia, situasi menjadi semakin sukar.

Apa yang boleh dibuat adalah dengan melaksanakan perintah berkurung di kawasan yang tertentu seperti Lembah Klang yang mencatatkan jumlah kes yang tinggi.

Ataupun kerajaan mengambil langkah seperti negara jiran Indonesia dengan membenarkan orang ramai bergerak dan aktiviti ekonomi terus bergerak dengan normal baharu.

Pada masa yang sama berita-berita kemasukan pelaburan besar-besaran ke dalam negara turut disulam ketika pandemik mengganas. Berita gembira vaksin tiba meredakan kebimbangan.

Masalahnya Malaysia, dasar ekonomi pun tidak jelas, begitu juga yang terkait dengan pandemik. Perintah kawalan, tetapi orang ramai ke sana ke sini seolah-olah sudah tidak ada kes wabak maut. Vaksin pun entah di mana. Pusat kuarantin melimpah pesakit.

Politik tidak pernah stabil. Kerajaan pintu belakang dengan kelebihan dua kerusi sering bertikaman. UMNO tuduh Bersatu. Pas tuduh UMNO. Bersatu tuduh UMNO adalah puncanya.

Tiga parti Melayu ini bertikam sesama sendiri. Hendakan pilihan raya segera dengan pecahkan kongsi Perikatan Nasional pun tidak berani.

UMNO takut disumpah oleh rakyat sebagai gila kuasa meruntuhkan kerajaan ketika wabak mengganas dan bencana banjir melanda.

Ekonomi semakin buruk. Pandemik semakin teruk. Rakyat semakin tidak senang duduk. – SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button