Nasional

COVID-19: 8,381 individu di pusat kuarantin pulang ke rumah

SERAMAI 8,381 individu yang berada di pusat-pusat Kuarantin akan menjalani baki tempoh kuarantin di kediaman mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang bermula hari ini.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri, sebelum pulang mereka telahpun disaring COVID-19 dan mendapat keputusan negatif.

Namun mereka tetap perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing. Mereka juga wajib memuat turun aplikasi MySejahtera apaupun berhadapan dengan hukuman denda.

“Seperti diumumkan sebelum ini, mereka perlu memuat turun aplikasi MySejahtera untuk proses pemantauan sebelum dibenarkan menjalani proses kuarantin di kediaman mereka.

“Mana-mana individu yang mengingkari proses kuarantin wajib dan SOP yang telah ditetapkan akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah,” kata Ismail Sabri dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu semalam seramai 124 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, China serta Qatar dan dikuarantin wajib.

Bermula hari ini semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan menjalani saringan Covid-19 sejurus tiba di pintu masuk sempadan negara.

Bagi mereka yang didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan dan mereka yang negatif perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Sejak 3 April 2020 seramai 51,422 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib dan 42,817 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button