Bola SepakSukan

Covid-10: Hak pemain Liga-M perlu dilindungi

Pembayaran separuh daripada jumlah pendapatan penuh dilihat antara mekanisme terbaik untuk melindungi hak pemain, pada masa sama membantu kewangan pasukan susulan penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) sejak 16 Mac lepas kerana penularan wabak COVID-19.

Bekas timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata ketika aktiviti bola sepak seluruh dunia lumpuh kesan penularan COVID-19, pasukan dan pemain Liga-M perlu mencari penyelesaian terbaik dalam mengharungi waktu sukar ini.

“Pemain dan pasukan tempatan harus menyedari bukan mereka sahaja yang terpalit dalam isu ini tetapi seluruh dunia merasai kesan COVID-19. Saya memahami kesulitan yang dihadapi terutama melibatkan pemain dan pasukan.

“Pemain memerlukan gaji untuk menyara keluarga manakala pasukan memerlukan penajaan untuk menghidupkan kewangan, mungkin mekanisme terbaik adalah bayar dulu separuh gaji pemain dalam detik sukar ini. Mungkin ini jalan terbaik untuk melindungi hak pemain atau kelab itu sendiri,” katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan Liga-M pertama mengumumkan gaji pemain, jurulatih dan kakitangannya dipotong sehingga 33 peratus dalam usaha meringankan beban penyandang juara Liga Super dan Piala Malaysia musim lepas itu.

Mengikuti jejak langkah sama, pasukan Liga Premier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC yang bersedia memotong gaji pemain antara 15 hingga 20 peratus bermula April sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Sementara itu, Redzuan memuji tindakan pantas FAM dan MFL yang menunda kesemua aktiviti bola sepak dalam usaha membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19.

Katanya, tiada yang lebih bernilai daripada nyawa manusia.

“Usaha FAM dan MFL ini adalah sama seperti dilakukan oleh badan induk bola sepak negara lain yang  mana mereka turut menangguhkan aksi domestik dan ada segelintir telah menamatkan saingan liga gara-gara wabak COVID-19 ini.

“Ini adalah detik sukar buat bola sepak dunia selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Jadi, saya berharap kita semua boleh mendoakan wabak COVID-19 berakhir dan industri bola sepak tempatan akan berjalan seperti biasa,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button