Nasional

Coretan belasungkawa Koperal Safwan

SALAM para Pejuang-pejuang Sang Saka Biru. Saya diarahkan oleh YDH KP Selangor untuk mengiringi jenazah anggota kita, Koperal Safwan yang terkorban semasa menjalankan tugas Op COVID di Kajang.

Pada 4 Mei 2020, lebih kurang jam 2:30 pagi saya bersama konvoi meninggalkan Hospital Serdang mengiringi jenazah untuk ke tapak persemadian di Perak.

Sampai di Tanjung Rambutan, pasukan sahabat daripada IPK Perak sedia menunggu.

Apabila tiba di tanah perkuburan hati saya mula rasa sarat melihat keluarga dan adik-adik arwah dah menunggu. Bapa kepada arwah, Sarjan (B) Mohd Ismail, (Ex-VAT69) juga ada di situ.

Tuan-tuan dan puan-puan ada anak, saya ada anak, kita semua ada anak, dan ini anak dia. Masa van jenazah sampai dia minta kebenaran untuk menatap wajah anak dia.

Untuk makluman, bapa arwah hanya tunggu di Tanjung Rambutan. Jenazah dah siap kafan di Hospital Serdang.

Sebagai seorang bekas anggota, tertib cara dia bila bercakap dengan pegawai. Dia dah sakit, tapi digagahnya juga bercakap sebagai seorang anggota yang meminta izin kepada pegawainya, saya benarkan.

Menitik air mata saya bila melihat beliau mengusap wajah jenazah anak beliau sambil bertasbih menguatkan semangatnya sendiri. Sumpah, memang sebak betul.

Seterusnya saya tak tahu apa bauran rasa yang ada dalam diri dia masa saya serahkan Panji Sang Saka Biru. Di bawah panji itulah dia membesarkan sembilan orang anak dia, dan di bawah panji itu jugalah seorang anaknya dikembalikan kepada Allah S.W.T, tapi, dia masih lagi mendakap panji pasukan yang saya sampaikan dengan wajah yang berjuta rasa itu.

Akhirnya jenazah dikebumikan sewaktu azan Subuh mula dilaungkan. Satu demi satu wajah bapa, ibu dan lapan orang adik-beradik yang duduk dalam jarak social distancing saya perhatikan. Wajah mereka masing-masing menceritakan berjuta sayang dan rindu mereka kepada arwah.

Arwah kini menjadi satu bukti lakaran kesetiaan tugas kita kepada negara, apa lagi bukti yang perlu dijadikan jika nyawa yang menjadi galang gantinya?

Kepada arwah, kita sedekahkan bacaan surah al-Fatihah. Semoga tenang dan damai di sana dalam pelukan rahmat Allah S.W.T, dan semoga diterima sebagai seorang syuhada. Kepada semua pejuang, kalau bukan kita siapa lagi.

SAC DATO’ FADZIL AHMAT
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor

Allahyarham Koperal Safwan yang maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button