Nasional

CIDB, kerajaan perlu telus dalam tragedi Putra Height – Pemuda Pas

PERCANGGAHAN kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di mana pada awalnya menafikan wujudnya sebarang aktiviti pembinaan, sebelum menarik balik kenyataan tersebut menunjukkan  wujud isu ketelusan dan akuantabliti di pihak berkuasa dan kerajaan dalam tragedi di Putra Height.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, insiden kebocoran paip gas di Putra Heights bukan sekadar satu insiden terpencil, tetapi membongkar persoalan lebih besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti pihak berkuasa dalam menangani isu keselamatan infrastruktur negara.

“Lebih mengejutkan, penduduk setempat tampil dengan bukti rakaman ‘dashcam’ yang membuktikan sebaliknya. Situasi ini menimbulkan persoalan serius mengenai sejauh mana ketelusan dan kejujuran pihak berkuasa dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri tanpa memberikan penjelasan yang tuntas dan bertanggungjawab. Sikap berdolak-dalik hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan menimbulkan spekulasi bahawa ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Keselamatan rakyat tidak boleh dikorbankan atas kepentingan mana-mana pihak dan kebenaran perlu didedahkan tanpa sebarang unsur campur tangan politik,” katanya.

Related Articles

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam pada itu menolak sebarang percubaan untuk menjadikan PETRONAS sebagai kambing hitam dalam insiden berkenaan.

“Sebagai syarikat yang mempunyai rekod keselamatan bertaraf dunia, menyalahkan mereka tanpa bukti kukuh adalah tidak bertanggungjawab dan hanya bertujuan mengalih perhatian daripada kegagalan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan infrastruktur awam,” ujarnya.

Justeru, pihaknya menuntut agar kerajaan segera tampil dengan penjelasan yang jelas dan siasatan bebas dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebocoran paip gas tersebut.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan pihak yang cuai mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Pemuda PAS akan terus memantau perkembangan isu ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan jika kerajaan gagal bertindak secara telus dan adil,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button