Politik

Cara ingati Tunku adalah utamakan identiti Malaysia – Kit Siang

CARA terbaik untuk memperingati memori perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman adalah dengan merealisasikan cita-cita beliau tanpa mengira kaum atau agama dan mementingkan rakyat Malaysia.

Menurut veteran DAP Lim Kit Siang, Malaysia tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara sehinggalah semua warganegara Malaysia mengutamakan identiti sebagai rakyat Malaysia berbanding identiti kaum atau agama mereka.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan tidak ada sesiapa pun yang meminta supaya rakyat Malaysia berhenti daripada menjadi seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Taoist.

Bagaimanapun semua rakyat perlu bersama dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia.

“Kita perlu beringat kepada kata-kata Tunku, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya yang menerangi dunia yang kelam dan terganggu” dan menjadi contoh kejayaan Gabungan Tamadun dunia, di mana Malaysia menjadi pusat pertemuan empat kebudayaan besar dunia — Tamadun Islam, Cina, India, dan Barat — dan bukannya menjadi kegagalan akibat pertembungan di antara tamadun-tamadun ini,” kata Kit Siang.

Kit Siang berkata, amat menyedihkan selepas enam dekad Malaysia masih gagal dalam usaha pembinaan negara bangsa.

Menurutnya, Malaysia masih masih dihantui dengan politik yang berfikiran sempit dan tidak bertoleransi  berteraskan isu perkauman dan keagamaan.

Sempena hari ulang tahun ke-118 Tunku Abdul Rahman, Kit Siang berkata, dia teringat kata-kata Bapa Kemerdekaan iaitu:

“Kita semua rakyat Malaysia. Inilah perkara yang menyatukan kita semua. Marilah kita sentiasa beringat bahawa perpaduan adalah kekuatan utama kita sebagai sebuah bangsa dan sebuah negara.”

“Kita perlu sentiasa berfikir sebagai seorang rakyat Malaysia dahulu, memberikan keutamaan tertinggi kepada kepentingan negara dan tidak mengutamakan kepentingan sendiri… Semua orang perlu cuba untuk membantu dan memastikan rakyat Malaysia bersatu padu, dengan kesetiaan dan hanya satu matlamat — untuk menjadikan Malaysia yang kita cintai — sebuah tempat yang dicintai oleh semua. Jika kita semua berusaha ke arah ini, kita boleh jamin kebebasan, keselamatan, kemakmuran dan kegembiraan untuk semua di masa hadapan.”

“Semua percakapan mengenai Negara Islam ini hanyalah angan-angan kosong. Tidak ada sesiapa pun yang akan menerima sebuah negara yang mengasaskan pentadbiran politiknya kepada mana-mana agama, dan di dalam sebuah negara seperti Malaysia, dengan penduduk majmuk yang berbilang kaum dan berbilang agama, tidak ada ruang untuk sebuah Negara Islam.”-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button