CapitaLand menyumbang barang keperluan bernilai RM200,000 untuk membantu 2,600 kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah di Malaysia
Penerima menikmati pengalaman bazar pusat beli-belah serba unik buat kali pertama menerusi inisiatif #GivingBersama 4.0
Kuala Lumpur, 7 Januari 2025 – CapitaLand Group, dengan sokongan daripada cabang kebajikannya, CapitaLand Hope Foundation (CHF), menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian dan keperluan pendidikan bernilai RM200,000 kepada kira-kira 2,600 penerima menerusi inisiatifnya, #GivingBersama 4.0. Inisiatif kemasyarakatan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada kempen global #GivingAsOne tahunan CapitaLand bermatlamat untuk memberi sokongan kepada penerima daripada rumah anak yatim, sekolah dan keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang, Lembah Klang, Pahang dan Johor.
Mulai 23 Oktober sehingga 20 Disember 2024, sukarelawan terdiri daripada kakitangan CapitaLand bersama-sama menjayakan usaha yang bermakna ini dengan memberi sokongan kepada hampir 800 kanak-kanak kurang berkemampuan daripada 21 rumah amal dan lebih 1,800 penerima daripada 600 keluarga berpendapatan rendah. Penerima ini dikenal pasti hasil kerjasama dengan Unit Mutiara Food Bank di Pulau Pinang serta pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor.
Buat kali pertama, CapitaLand memperkenalkan pengalaman bazar pusat beli-belah untuk membawa keseronokan dan kegembiraan kepada penerima. Menerusi inisiatif jelajah yang unik ini, penerima boleh memilih barangan keperluan daripada pelbagai gerai yang didirikan oleh sukarelawan kakitangan berkenaan di dewan komuniti di seluruh Malaysia.
Ketua Peruncitan, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata: “Ini tahun keempat inisiatif #GivingBersama kami, dan kami berbangga untuk terus memberi sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan. Untuk menjadikan usaha sumbangan kepada masyarakat tahun ini lebih bermakna, para sukarelawan kakitangan kami menampilkan konsep bazar pusat beli-belah di dewan komuniti yang menyediakan pengalaman yang menggembirakan dan unik kepada keluarga ini. Kami berbesar hati dengan sambutan positif dan amat berbangga dengan sukarelawan kami yang menyemarakkan inisiatif yang penuh makna ini menerusi dedikasi dan kreativiti mereka dalam usaha kami untuk meningkatkan kesejahteraan golongan ini. Di samping bazar, barangan keperluan turut diagihkan kepada rumah anak yatim.”
Gerai bazar tersebut menawarkan pelbagai pilihan barangan termasuk keperluan rumah, buah-buahan dan sayuran segar, minuman dan makanan ringan menyihatkan, alat tulis serta banyak lagi, sekali gus mencipta pengalaman membeli-belah yang menarik dan menyeronokkan buat penerima dan keluarga mereka. Mereka juga menerima beg beli-belah dan beg bukan tenunan boleh guna semula untuk membawa pulang barangan pilihan mereka. Tambahan pula, baucar beli-belah untuk kegunaan di pusat beli-belah CapitaLand di Malaysia turut dihadiahkan kepada mereka sebagai sokongan selepas acara berkenaan. Bagi penerima yang memerlukan bantuan, sukarelawan kakitangan memastikan barangan yang dipilih itu dihantar ke rumah mereka. Selain daripada bazar tersebut, barangan keperluan harian dan keperluan pendidikan turut diagihkan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan daripada 21 rumah anak yatim di Lembah Klang.
“Di CapitaLand, kami komited untuk membina daya tahan dalam kalangan masyarakat di tempat kami beroperasi. Tahun ini, lebih daripada 180 sukarelawan kakitangan CapitaLand berkumpul dan menyumbang lebih daripada 1,400 jam kerja sukarelawan bagi memberi sokongan kepada golongan rentan di Malaysia. Sejak 2011, CapitaLand, dengan sokongan CHF, sudah membantu lebih daripada 16,100 penerima dan memberi sumbangan lebih daripada RM2.6 juta di Malaysia,” tambah Selina Ng.
Diadakan secara tahunan pada bulan September dan Oktober, kempen #GivingAsOne CapitaLand menghimpunkan kakitangan, penyewa, rakan kongsi perniagaan dan pelanggan untuk meningkatkan kehidupan golongan rentan dalam kalangan masyarakat di tempat ia beroperasi. Pada 2024, lebih daripada 8,900 sukarelawan di 17 negara menyumbang lebih daripada 46,000 jam kerja sukarelawan yang memberi manfaat kepada lebih daripada 13,000 individu.
Kehadiran CapitaLand di Malaysia meliputi pelbagai kelas aset termasuk kediaman, peruncitan, penginapan, logistik dan pusat perniagaan. Rangkaian peruncitannya terdiri daripada tujuh pusat beli-belah iaitu Melawati Mall di Taman Melawati dan enam pusat beli-belah dimiliki oleh CapitaLand Malaysia Trust – 3 Damansara di Petaling Jaya, East Coast Mall di Kuantan, Gurney Plaza di Pulau Pinang, The Mines di Seri Kembangan dan kepentingan majoriti di Queensbay Mall di Pulau Pinang dan Sungei Wang Plaza di Kuala Lumpur. CapitaLand turut mengendalikan operasi Nusajaya Tech Park, sebuah taman perindustrian seluas 210 hektar yang terletak di Iskandar Puteri, Johor.
Untuk maklumat lanjut mengenai #GivingBersama 4.0, layari https://youtu.be/7LSvQs2EZp0