Calon PM: MKT UMNO tentukan nama
SIAPAKAH calon Perdana Menteri, hanya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sahaja yang akan menentukan nama calon perdana menteri selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan bukan oleh mana-mana individu, kata Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Khaled berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada satu mesyuarat khas MKT akan diadakan sejurus selepas Muhyiddin meletakkan jawatan.
Terdapat pertemuan antara pemimpin utama UMNO di ibu pejabat parti itu semalam dan keputusan meletakkan calon sebagai perdana menteri antara yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.
Memetik laporan Berita Harian, pertemuan yang berlangsung lewat petang semalam dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan selain tiga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Khaled sendiri, tanpa kehadiran pemimpin-pemimpin lain.
Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan mengesahkan pertemuan pemimpin utama itu semalam. – SM