Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi
Manakala Ringgit dibuka tidak berubah berbanding Dolar AS
Bursa Malaysia meneruskan momentum kenaikan pada pembukaan hari ini, kesinambungan aktiviti mengaut keuntungan semalam, ini kerana minat belian pelabur dilihat tertumpu di kaunter saham terpilih seperti produk industri, perkhidmatan dan penjagaan kesihatan.
Pada jam 9 pagi, penanda aras FBM KLCI meningkat 1.78 mata kepada 1,589.74 dari penutupan Selasa pada 1,587.96. Indeks dibuka 1.55 mata lebih baik pada 1,589.51 hari ini.
Secara keseluruhan, pasaran dilihat positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 215 hingga 150, sementara 291 kaunter tidak berubah, 1.492 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung. Jumlah dagangan direkodkan berjumlah 280.64 juta saham dengan nilai RM114.77 juta.
Manakala Ringgit dibuka tidak berubah berbanding Dolar AS hari ini. Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan tidak berubah pada 4.1200 berbanding Dolar AS.
Sementara itu mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Berbanding Dolar Singapura, ringgit turun menjadi 3.1120 dari penutupan Selasa pada 3.1108 dan turun berbanding Yen Jepun kepada 3.7643 dari 3.7608.
Begitu juga berbanding Euro kepada 5.0157 dari 5.0149 dan merosot berbanding Pound Britain kepada 5.8331 dari 5.8236. – SM