Bukit Aman beku cuti anggota, nafi akan ada pilihan raya
Bukit Aman telah mengeluarkan arahan membekukan cuti untuk semua pegawai polis dan anggota pasukan itu sehingga pemberitahuan lanjut kelak.
Difahamkan, arahan itu dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Zaini Jass semalam untuk operasi yang disebut ‘Op Aman’ dan berkuatkuasa serta-merta.
Sumber yang mengetahui perkara itu mendakwa cuti dibekukan kerana polis perlu bersiap sedia untuk perhimpunan yang akan diadakan pada 21 Ogos ini.
Bagaimanapun, Zaini ketika dihubungi pada awal hari ini menafikan arahan berkenaan berkaitan dengan sebarang demonstrasi.
“Ini adalah amalan biasa, seperti yang dilakukan PDRM dari semasa ke semasa,” katanya kepada Malaysiakini melalui pesanan teks.
“Tidak ada kaitan dengan bantahan,” jelasnya ketika disoal lebih lanjut.
Zaini juga menafikan arahan itu dikeluarkan kerana pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.