Bukan suruh solek macam ratu dunia, bagi elok depan tv sahaja – Che Ta
KALAU tengah bersalin pun dia sempat bersolek, apatah lagi pada hari-hari biasa. Itulah Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta yang cukup menjaga penampilannya.
Baru-baru ini, Che Ta menerusi akaun Instagramnya mengeluh mengenai pemilihan jurusolek yang didakwa belum cukup mahir untuk memberi solekan kepada artis.
Menurut pelakon filem Adik Manja Returns ini, dia sendiri tertanya-tanya dengan pemilihan jurusolek oleh pihak produksi sama ada mengikut bajet atau sekadar ada sahaja.
“Kadang-kadang kita penat bila waktu penggambaran, artis kena bersolek sendiri. Mana tidaknya kalau mekap pun sekadar menonyoh dengan hari. Teknik tahun bila tu?
“Muka artis pun dah macam kena arang. Penat juga bila artis nak kena pikul semua tanggungjawab orang lain,” katanya.
Menurut Rozita, yang menjadi muka hadapan sesuatu drama atau program ialah artis dan disebabkan itu pemilikan jurusolek itu sesuatu yang penting.
Jelasnya, artis bukan meminta supaya mereka disoleh seperti ratu dunia, sebaliknya sekadar elok untuk dipaparkan di televisyen sahaja.
“Kalau ada 26 artis tapi 25 orang itu terpaksa bersolek sendiri, buat rugi sahaja ambil jurusolek,” jelasnya. -SM